Hukuman yang berbeza-beza antara rakyat tempatan dengan warga asing kulit putih dalam isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 memberi gambaran seolah-olah undang-undang negara dilaksanakan secara berpilih mengikut individu berbeza.
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) menegaskan kompaun berjumlah RM3,000 terhadap wanita warga asing yang digelar ‘Karen’ oleh warganet sehingga mencetuskan kekecohan di sebuah butik mewah di KLCC baru-baru ini disifatkan sebagai tidak adil.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pihak berkuasa dilihat turut memberi layanan berbeza dalam kalangan warga asing, apabila individu berkulit hitam dari negara miskin dikenakan hukuman berat berbanding warga asing kulit dari negara kaya.
“Apabila anak muda turunkan pelitup muka dalam tempoh masa singkat, terus dikenakan saman RM10,000. Peniaga Melayu di luar bandar dikenakan saman RM50,000.
“Tahun lepas, apabila warga Bangladesh, Nepal yang berkulit hitam ingkar SOP bukan saja dikenakan denda, tapi terus diusir keluar dari Malaysia.
“Tapi apabila kena kepada warga asing yang mungkin daripada golongan maha kaya, terus dibela dan hanya dikenakan RM3,000. Kalau mahu ambil tindakan, boleh dan sememangnya perlu.
“Tapi realiti di Malaysia jika kamu golongan pertengahan atau bawahan, pembelaan tidak sewajarnya dan jika warga asing, diskriminasinya mengikut warna kulit dan negara mana kamu datang,” katanya.
Syed Saddiq yang juga Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, ‘Karen’ dikenakan kompaun RM3,000 atas dua kesalahan, iaitu tidak mendaftar masuk ke premis menggunakan aplikasi MySejahtera dan gagal memakai pelitup muka.
Keingkaran Karen mematuhi SOP itu tular susulan video yang memaparkan kekecohan apabila wanita itu dihalang masuk ke sebuah butik mewah di KLCC oleh kakitangan butik terbabit kerana tidak memakai pelitup muka.