Syed Saddiq tiba di Mahkamah Sesyen jam 9 pagi tadi

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 9 pagi tadi bagi menghadapi prosiding pendakwaan terhadapnya.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1 juta membabitkan wang peruntukan sebuah parti politik dan satu pertuduhan lain.

Beliau dilihat hadir bersama dua peguamnya Gobind Singh Deo dan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Turut dilihat hadir bagi memberi sokongan, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, serta pemimpin PKR, Tian Chua.

Pada semalam, media melaporkan bahawa sumber memberitahu, Syed Saddiq akan didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pecah amanah dana sebuah parti politik dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan menyalahgunakan harta iaitu wang.

Sumber berkata, kesalahan itu dipercayai dilakukan pada 2018 dan 2020.