“Tak adil betul, saya siap basuh, lap kering tapi tauke tak belanja” – Netizen berseloroh, cemburu individu makan ‘free’ sebab kemas meja

Oleh MAISARAH AISYA

Walaupun jarang berlaku tapi ada sahaja pelanggan yang meletakkan pinggan di satu tempat sebelum beredar keluar dari kedai makan.

Namun tindakan pengguna Facebook, Ranger Hunter ini dibalas dengan kebaikan oleh pemilik kedai yang membuat keputusan membelanja keluarga pelanggan tersebut.

Pelanggan tersebut memaklumkan bahawa kejadian itu berlaku ketika makan di sebuah gerai di Terengganu.

“Seperti kebiasaannya kami lepas makan memang akan kemaskan pinggan dan tutup sisa makanan serta rapatkan kerusi dalam meja.

“Tiba masa nak bayar, cashier (juruwang) cakap tauke (pemilik kedai) dah bayar meja saya. Aik, saya tanya kenapa sebab tak kenal pun dengan tauke.

“Cashier cakap tauke suka cara kami mudahkan pekerja dia kemas meja makan,” ujar pengguna tersebut.

Ramai memuji tindakan pemilik kedai tersebut namun tak kurang netizen yang melawak kerana tidak dapat makan percuma walaupun buat perkara sama.

“Saya baru balik dari Terengganu, cara ni pun memang dah jadi tabiat saya dan isteri, tapi tak dapat makan free, cuma anak anak dapat duit raya dari akak cashier. RM30 seorang.

“Saya selalu buat macam ini lepas makan, tapi tauke tu lupa nak belanja kita, hihihi.

“Tak adil betul, tauke kedai lain ni saya siap basuh, lap kering tapi kena bayar juga,” antara komen lucu netizen.

Baca juga: Salah minum boleh sebabkan sakit perut! Ini caranya nak bezakan ais guna air paip atau air masak