Perkongsian pelakon sensasi, Zul Ariffin yang memuat naik video pada Ogos lalu ketika melawat kota Al Ula, Arab Saudi kembali tular sehingga mengundang kecaman netizen.
Kekecewaan peminat itu disebabkan kawasan tersebut dikatakan adalah kawasan yang dilarang dikunjungi umat Islam.
Ramai juga percaya bahawa kota Al Ula yang dikunjungi pelakon tersebut adalah tempat terkutuk yang dilaknat Nabi SAW.
“Makin dilarang pergi ke Kota Al Ula, makin ramai yang pergi,” demikian luahan kekecewaan peminat terhadap, Zul Ariffin.
Tetapi benarkah kota Al Ula yang dikunjungi pelakon tersebut adalah tempat terkutuk yang dilaknat Nabi SAW?
Bagi mengelakkan kekeliruan warganet, Pendakwah bebas, Ustaz Shahrizan Daud tampil menjelaskan di Instagram miliknya, bahawa sebenarnya tempat dilaknat itu adalah Al Hijr iaitu berdekatan dengan Al Ula.

Rentetan itu, beliau berkongsi beberapa kisah mengenai kota ini mengikut apa yang diceritakan di dalam hadis dan al-Quran serta beberapa kajian daripada ahli arkeologi.
Abdullah bin Umar RA menceritakan: “(Pada tahun ke-9 hijrah ketika dalam perjalanan ke Tabuk untuk mempertahankan Madinah daripada kemungkinan serangan tentera Rom) kami melalui kawasan al-Hijr (negeri kaum Thamud yang dimusnahkan ALLAH) bersama Rasulullah SAW.
Baginda lantas bersabda: “Jangan kalian masuk ke negeri kaum yang menzalimi diri mereka sendiri (yang akhirnya dimusnahkan ALLAH) melainkan dalam keadaan menangis bimbangkan azab yang pernah menimpa mereka akan turut menimpa kalian.” Kemudian baginda mempercepat langkahnya sehingga meninggalkan tempat itu. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Abdullah bin Umar RA menceritakan: “Bahawasanya orang ramai turun bersama Rasulullah SAW ke Hijr, bumi kaum Tsamud. Lalu, mereka pun mengambil air daripada telaga dan membuat adunan roti daripadanya. Baginda pun mengarahkan supaya dicurahkan apa yang mereka ambil daripada telaga itu dan memberikan adunan-adunan itu kepada unta dan mengarahkan mereka supaya mengambil air daripada telaga-telaga yang diingini unta”. Al-Bukhari (3379), Muslim (7657)

Tempat yang dimaksudkan adalah Wadi al-Qura (Valley of Villages), terletak antara Madinah dan Tabuk. Al Hijr kini dikenali sebagai Mada’in Saleh, atau Kota Saleh.
Tempat ini juga ada disebut dalam Taurat (the old testament) dan juga dalam kitab Injil (dikenali dengan nama Dedan).
Kaum Thamud telah dibinasakan oleh ALLAH kerana kekufuran mereka dan juga kedegilan mereka membunuh unta Nabi Saleh yang ALLAH jadikan sebagai bukti akan kenabiannya.
Menurut kebanyakan ahli arkeologi dan sejarah, kaum Thamud ini dianggarkan hidup pada abad ke-8 Sebelum Masihi, iaitu sekitar tahun 800 SM.
Namun mengikut apa yang disebut dalam al-Quran, kaum ini hidup jauh lebih awal daripada yang telah disebut oleh pengkaji sejarah. Jika menurut riwayat sejarah Islam lingkungan tahun zaman Nabi Saleh AS adalah sekitar 2150-2080 SM.
Adapun Petra lebih tepat menurut sejarah dengan Kaum Nabatean 6-4 tahun SM yang dikaitkan kaum mewarisi teknologi seni bina sama dengan kaum Thamud.
Demikian perkongsian Ustaz Shahrizan. Diharapkan dapat menjawab segala kekeliruan yang diutarakan oleh warga maya.