Setelah genap dua tahun berkahwin, barulah seorang lelaki menyedari bahawa dia telah membuat keputusan yang salah dalam memilih isteri.
Mendirikan rumah tangga bersama anak bongsu dikenali sebagai Iman, lelaki itu mengakui dirinya sebenarnya sudah diberikan petunjuk di hari pertama berkahwin.
Berikut adalah perkongsian lelaki bernama Riq yang bertekad mahu berpisah sejurus menyedari keanehan isterinya selepas dua tahun melayari bahtera rumah tangga.
“Iman anak bongsu dan tunggal perempuan. Terlampau manja sampaikan dia utamakan mamanya berbanding aku. Waktu bernikah, aku dah mula terasa. Masa sesi batal wudhu’, mama dia suruh aku pakaikan gelang yang dia beli dulu. Kemudian baru pakai yang aku punya. Aku ikutkan. Iman pula bagi aku cincin, dari H*bib katanya.
“Masa majlis belah aku, kemain lagi dia complain. Mekap tak cantik, makanan tak sedap, pelamin tak lawa. Selang 2 hari, dapat mesej, “Riq, kalau boleh Riq dan Iman duduk dengan mama takyah duduk rumah parents Riq. Bukan apa, rumah Riq tu gelap, sunyi. Pastu lagipun bilik Riq kecik, takut nanti tidur atas timbunan baju pula”.
“Padahal, rumah aku tepi jalan besar. Tang mananya yang sunyi gelap tu? Rumah dia lagi masuk ke dalam lorong. Aku cakap elok-elok tak boleh, “saya kena jaga adik saya, ibu ayah saya tak kuat sangat”. Selepas itu baru aku tahu, selama ni A to Z mamanya buatkan, dari gosok baju sehinggalah potongkan kuku Iman.
“Ibu ayah aku punyalah baik. Apa yang adik aku dapat, Iman pun dapat. Iman tak masak, ibu aku tak bising. Bila duduk rumah ibu, ada sahaja tak kena. Balik kerja, ada je keluhannya, “D tahu tak, ayang balik kerja, nasi tak masak. Ayang lapar tau, susah laa camni, ayang balik kerja nak makan”.
“Aku cakap, dah tahu takde nasi, pesan sahaja makanan. Kenapa nak serabutkan kepala. Sekali lagi, merajuk. Lepastu, mulalah. Mama Iman mesej, “Riq tak boleh camtu bla bla… Hari-hari video call mamanya. Hari-hari nangis mengadu dekat aku, rindu mama. Padahal dekat je rumah aku dengan dia, 30 minit dah sampai.
“Okey takpe, aku izinkan Iman balik jumpa mamanya bila-bila masa. Tapi bila dah izinkan, hari-hari dia balik rumah mak aku masa malam je. Iman pernah tak balik dua bulan, buat macam aku tak wujud. Sepanjang dua bulan itu, dia ada mesej. Tetapi tak pernah tanya fasal parents aku. Bila aku suruh balik, mula laa mamanya mesej.
“Genap dua bulan balik, buat macam tiada apa berlaku. Apa motif kau kahwin? Iman juga kuat cemburu. Kalau dengan kawan aku, takpe. Ini dengan adik aku, sepupu aku. Weh agak-agaklah sepupu kot, kau cemburu apa. Dia dengan sepupu dia pun rapat. Tak pernah aku rasa cemburu ke apa, sebab aku tahu sepupu.
“Ada satu perkara yang aku pelik. Setiap kali Iman bagi aku bekal, dia akan asingkan bekal aku dengan bekal untuk orang rumah. Dia akan pesan, “bekal ini, jangan bagi kawan makan”.
“Lepas itu setiap kali dia masak dekat rumah ibu, dia akan bawa bahan sendiri. Contoh, garam, gula, cili, santan semua dia guna yang dari rumah dia. Padahal sama sahaja yang aku punya. Dia mandrem dulu ke? Itu dah buat aku syak benda bukan-bukan. Sampailah kemuncaknya, bila Iman tak solat. Aku dah nasihat, dah ajak jemaah.
“Aku tertipu. Sebelum kahwin, kemain solat. Hantar gambar tengah mengaji. Selepas kahwin, tak jaga solat. Aku pernah perangkap, aku letak dua barang atas telekung. Dari masuk zohor, sampai maghrib. Macam itu juga telekung. Bila tanya, dah solat? Kata dah. Bila soal pasal telekung, barulah terdiam.
“Pernah, ayah marah aku sebab lewat bangun subuh tiga hari berturut. Aku pelik sebab selalu memang akan terjaga. Sekali rupanya, dia matikan alarm aku. Pastu tak kejut subuh. Alasan dia, “kesian U penat, terganggu tidur.” Aku ceritalah, aku kena marah sebab terlajak subuh.
Lepastu dia boleh cakap “tak lah U, ayah memang macam tu. Marah tak tentu pasal, takpe U, ayang sentiasa faham U. Dari dulu lagi, ayah memang tak puas hati dengan ayang”. Aku balas, “yang awak cakap ni, ayah saya tau”. Pastu mulalah, merajuk. Sampai laa berlarutan, dia balik ke rumah mamanya, tanpa minta izin sebelum balik.
“Berlarutan sampailah genap dua tahun perkahwinan. Masa ini, enam bulan dia tak balik. Aku pun dah terluka sangat, dia kutuk keluarga aku. Pagi hari ulang tahun itu, aku lap cincin kahwin. Memang rutin harian, lepas mandi lap cincin dari hari pertama nikah. Tiba-tiba aku macam nak hantar kedai bubuh permata balik. Sebab masa lap haritu batu permata kecil terjatuh.
“Aku pun beli bunga, kek dan sedikit hadiah. Sebab hati macam dah lembut nak pujuk Iman balik. Lepas selesai semua, aku pun pergi laa H*bib, nak betulkan cincin. Pekerja kedai ambil cincin aku untuk periksa jenis dan pasang permata. Pekerja itu kata dekat aku, “maaf encik, cincin ini beli dekat mana ya? Sebab kami takde design ini. Kalau encik tengok kod kat dalam ini, bukan dari H*bib”.
“Alangkah terkejutnya aku, sedihnya tak tahu nak cakap apa. Aku kata “isteri saya kata dia beli kat H*bib”. Dia pun cakap “betul encik, ni bukan H*bib.” Aku malu sangat masa itu, secara spontan aku cakap, “isteri saya tipu sayalah ni”. Aku jalan keluar kedai, aku nangis. Teresak-esak aku menangis dalam kereta. Betul hancur sangat masa itu.
“Aku bagi dia yang terbaik, apa dia nak aku bagi. Hadiah kek itu, aku tak jadi bagi. Aku bagi kat kakak aku. Sedihnya Allah je yang tahu, aku tak pernah cerita kat ibu ayah aku. Tapi bila dah jadi macam ini, aku cerita. Aku cakap, aku nak lepaskan dia. Seminggu lepas tu, aku terus pergi pejabat agama, tanya proses cerai.
“Kalau ikutkan memang nak terus lafaz. Tapi aku ambil dia cara baik dan aku nak pulangkan cara baik juga. Sampai ke hari ini, dia masih tak bagi kerjasama. Dan ya, aku adalah suami yang digantung tak bertali. Aku bagi tempoh minggu depan. Jujur cakap, aku rasa trauma. Sangat.
“Aku rasa tak boleh kahwin dah lepas ini. Lebih baik aku fokus jaga keluarga. Sakit itu masih ada lagi berbekas. Kalau ikutkan, banyak lagi yang buat aku makan hati, dia langsung tak hormat aku. Nasihat aku, kalau anak manja jangan cuba untuk kahwin cepat. Pastikan kau dah betul-betul matang dan boleh fikir mana baik buruk.
“Tak mengapa kalau tak mampu beli barang mahal. Asalkan kau jujur, tak semua orang pandang pada nilai. Terima kasih admin, dan maaf kalau susunan ayat berterabur.” Luah Riq yang sempat memberi nasihat kepada orang ramai yang mahu berumah tangga.
Baca juga: Patutlah laku keras! Peniaga kantoi calit makanan pada alat sulit, banyak kali pula tu…