Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus merungkai persoalan mengenai hukum membayar zakat secara atas talian susulan menerima soalan mengenainya dalam satu sesi ceramah.
Hal ini kerana terdapat individu merasa sangsi berhubung hukum pembayaran zakat sama ada sah atau sebaliknya jika tidak disertakan bersama akad ijab dan qabul secara bersemuka seperti kebiasaannya.
Menjawab persoalan itu, penceramah yang turut dikenali sebagai UAI memaklumkan bahawa lafaz akad ijab dan qabul sebenarnya bukan sebahagian daripada syarat sah pembayaran zakat.
Sebaliknya syarat sah pemberian zakat adalah berniat dan hal ini menjadikan pembayaran secara di atas talian boleh dilakukan tanpa sebarang masalah ataupun rasa was-was mengenai hukumnya.
“Perkara yang sebetulnya adalah zakat fitrah tidak wajib untuk dilafazkan ijab dan qabul. Sebaliknya yang wajib itu adalah niat. Zakat fitrah itu boleh diniatkan di dalam hati sahaja syaratnya.
“Tetapi jika ada lafaz secara lisan, hukumnya adalah harus. Bersalaman juga tidak wajib. Namun sekiranya amil zakat (individu yang bertauliah untuk memungut zakat) sudah menghulurkan tangan, kita perlulah jabat.
“Hal kerana jika tidak bersalaman, boleh mengaibkannya. Bersalaman bukan syarat wajib bayar zakat, ini cuma atas dasar silaturahim sahaja,” kata penceramah yang berasal dari Terengganu itu.
Jawapan Ustaz Azhar di dalam sesi ceramah itu sempat dirakam sebelum dikongsikan menerusi satu hantaran video berdurasi dua minit 36 saat yang dimuat naik di platform TikTok.
Dalam perkongsian yang sama, pendakwah terbabit turut mendedahkan waktu lebih afdal untuk berniat bagi melakukan pembayaran zakat fitrah sama ada secara atas talian atau sebaliknya.
“Ulama berkata apabila kita sudah asingkan sebahagian wang membayar zakat kemudian berniat di dalam hati bahawa, ‘inilah zakat fitrah yang wajib ke atas diriku dan orang-orang di bawah tanggunganku’.
“Maka berniat seperti itu juga sudah sah. Namun yang paling afdal adalah kita berniat ketika hendak membauar zakat. Pegang duit tersebut dan kita berikan kepada amil zakat.” Jelasnya.
Baca juga: Dari pemain bola profesional kini penyampai radio Era FM, Safee Sali cabar sisi ‘introvert’