Tak pernah malu kerja sebagai pekebun sawit, anak muda ini mampu raih RM7,000 sebulan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki berusia 20 tahun tidak kisah mengambil haluan berbeza dengan rakan-rakan seusia yang kebanyakannya memilih untuk melanjutkan pengajian dan be­kerja di sektor-sektor swasta.

Muhammad Hazim Mohd. Akhir, 20, berbangga dengan pekerjaannya sebagai pekebun sawit yang ternyata memberi pendapatan lumayan buatnya.

Tiada siapa menduga pekerjaan yang jarang diceburi golongan muda itu mampu membuatnya tersenyum lebar dengan gaji sehingga RM7,000 sebulan.

Muhammad Hazim mengusahakan ladang sawit seluas 16 hektar milik keluarganya, dan dia sejak berusia 12 tahun sudah membantu ayahnya di ladang.

“Ada yang kata sektor pertanian ini kotor, bahaya dan sukar, namun sekiranya kita membuat perancangan teliti ia tidak se­perti yang digambarkan,” kata­nya memetik Kosmo! Online.

Anak kelahiran Tapah, Perak itu berkata, sebahagian besar gajinya disimpan untuk membeli tanah bagi menambah tanaman sawit.

Dia juga tidak berhasrat untuk membeli kereta mewah atau gajet canggih buat masa ini kerana mahu fokus mengumpul aset.

“Setakat ini, saya pendam dulu keinginan untuk membeli kereta mewah dan gajet canggih.

“Biarlah wang itu digunakan untuk menambah aset. Saya berazam untuk memiliki kediaman dan tanah sendiri sebelum mendirikan rumah tangga,” katanya lagi yang turut mengusahakan tanaman buluh, nanas, pisang dan ternakan ruminan.

Baca juga: Bukti orang Sabah pernah jejak kaki atas bulan