Tak puas hati majlis dibatalkan, lelaki minta calon isteri bayar semula RM6k duit belanja kahwin

Oleh MAISARAH AISYA

Jangan pernah memandang rendah usaha seseorang untuk menghalalkan pasangannya apatah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang.

Tapi masih ada yang mengambil kesempatan atas usaha orang lain dengan mengambil duit tapi membatalkan perkahwinan.

Disebabkan itu seorang lelaki Indonesia membuat laporang selepas calon isterinya menggelapkan wang pernikahan mereka.

Menurut Sumut.Pos.co., kejadian tersebut dikatakan berlaku di wilayah Sumatera Utara.

Riski Agung Pratama memaklumkan sudah memberikan wang sebanyak 23 juta rupiah (RM6,664) kepada bakal isteri untuk perbelanjaan majlis pernikahan mereka.

Apabila pertunangan diputuskan oleh calon isterinya, lelaki yang berusia 25 tahun itu meminta wang berkenaan dipulangkan.

Dalam pada itu Riski memaklumkan rombongan keluarganya datang ke rumah bakal isteri yang dikenali sebagai SY pada hujung bulan lalu.

“Setiba di sana, alangkah terkejutnya kami mendapati jawapan bahawa SY telah memutuskan hubungan dengan saya.

“Sedangkan, saya tidak memutuskan hubungan dengannya,” kata Riski.

Terkejut mendengar khabar pertunangan sudah diputuskan, Riski menyoal jika ada lelaki lain yang masuk meminang SY.

“Kata ibu SY, laki-laki tersebut adalah teman SY asal Medan. Kami merasa tidak dihargai dan meminta wang (belanja pernikahan) dipulangkan.

“Namun setelah ditunggu, mereka tidak hadir ke rumah untuk memulangkan wang itu. Kami kemudian membuat laporan di Balai Polis Stabat,” ujarnya.

Baca juga: Pengantin menangis rakan baik berbangsa Cina datang majlis kahwin dan beri hadiah gelang emas