Tak sangka besar kos berjaya dijimatkan selepas kerajaan usaha tanam bawang sendiri

Oleh KIM SYAZIE

Umum tahu bahawa kerajaan sejak tahun lalu telah melaksanakan usaha penanaman bawang besar-besaran di dalam negara bagi menampung bekalan bahan mentah itu.

Ia dilakukan kerana kerajaan mahu mengurangkan kos import bawang yang terlalu besar setiap tahun mencecah RM900 juta.

Justeru menerusi Program Pembangunan Tanaman Bawang yang diusahakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kerajaan menjangkakan akan menjimatkan kos pengimportan sehingga RM300 juta.

Untuk rekod, negara telah mengimport sebanyak 484,867 metrik tan bawang bernilai RM902.5 juta pada tahun 2021 bagi memenuhi permintaan pengguna.

India menjadi pembekal bawang terbesar negara dengan 57 peratus, diikuti China (20 peratus) dan Pakistan (11 peratus).

Menurut Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan penanaman bawang di tanah seluas 0.4 hektar, pihaknya berjaya menghasilkan lebih empat tan bagi satu-satu tuaian.

“Tanaman kontan ini boleh dituai sebanyak tiga kali setahun. Jadi, para petani boleh menjadikan tanaman bawang sebagai kerjaya.

“Import bawang ini rupanya lebih RM900 juta, tinggi. Kalau kita boleh sediakan 30 peratus iaitu bawang kecil, kita dapat jimat lebih kurang RM300 juta daripada wang kita keluar negara,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak projek tanaman Bawang Rose Ehsan di Selangor Fruit Valley.

Menurut beliau, beberapa negeri didapati berpotensi dalam memajukan tanaman bawang seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Program Pembangunan Tanaman Bawang setakat ini masih dalam peringkat rintis dan seawal hujung tahun ini akan mengagihkan benih bawang kecil yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Cumanya di Selangor, bawang kecil ini telah dijual pada harga RM3. 50 di ladang atau RM6 sekilo di pasaran berbanding bawang import antara RM7 hingga RM10,” ujarnya.

Baca juga: “Acik-acik yang kutuk perut saya ini, lepas beranak terus macam Miss World ke?” – Intan Najuwa