Komposer dan penyanyi, Ajai mengakui kerap mendengar pengalaman seram dialami oleh pendengar lagu ciptaannya iaitu Pulangkan yang dinyanyikan oleh Misha Omar.
Malah menurut Ajai, maestro tersohor iaitu Datuk Ramli MS yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Ram juga pernah mengalami kejadian misteri berhubung lagu tersebut.
Kejadian berlaku ketika Tok Ram bertugas sebagai pengarah muzik Anugerah Juara Lagu Ke-19 (AJL19) di mana Misha Omar bertanding sebagai finalis, lapor Gempak.com.
“Sudah banyak kali saya dengar. Tetapi rasanya ia hanya psikologi orang sahaja. Cuma, Datuk Ramli MS juga pun pernah kena dahulu. Beliau pernah bercerita kepada saya.
“Kejadian berlaku ketika lagu Pulangkan tercalon sebagai finalis AJL19. Ketika itu, kayu konduktor milik beliau hilang. Dimarahnya semua orang. Tetapi akhirnya, kayu itu ada di tempat yang beliau sudah banyak kali cari.
“Ada juga yang terbawa-bawa (selepas mendengar). Jadi bagi saya, lagu itu memang berhantu sebab ia mahu diingati orang,” kata Ajai memetik laporan Gempak.com.
Ajai mendedahkan perkara itu ketika diminta mengulas satu hantaran tular di laman X mengenai pelajar yang mengalami kejadian mistik selepas menyanyikan lagu Pulangkan di lewat malam.
Sehubungan itu, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas tampil menasihati peminat supaya tidak lupa untuk membaca doa dan membasuh kaki sebelum masuk tidur.
“Mana yang terbawa-bawa itu, lain kali sebelum tidur baca Bismillah supaya diri terhindar daripada syaitan dan iblis. Kalau terbawa juga, maknanya dia peminat lagu itu,” ulas Ajai.
Pulangkan adalah lagu single nyanyian Misha Omar yang dijadikan runut bunyi dalam filem seram lakonan aktres popular, Maya Karim iaitu Pontianak Harum Sundal Malam.
Baca juga: Terkejut filem Sheriff tak laku di Indonesia, ini jawapan paling logik dari Afdlin Shauki