Bila sudah menghampiri bulan Syawal ini, maka ramai terpaksa beratur panjang di bank demi menukar duit raya untuk diberikan kepada sanak saudara.
Biasalah, bukannya sedikit orang nak tukar duit raya, kalau kena beratur mungkin berjam waktu dihabiskan, pastinya ia sukar untuk mereka yang bekerja.
Disebabkan itu, seorang pengguna Facebook, Mohd Shafiq Azizi menawarkan khidmat tukar duit raya, malah ini adalah tahun kelima servis tersebut ditawarkan.
“Servis tukar duit raya tahun 2025, raya dah nak dekat. Ini adalah tahun kelima kami buat servis tukar duit raya.
“Kenapa perlu guna servis kami? Prosedur bank terbaru ini akan menyebabkan anda terpaksa beratur lebih panjang dari tahun sebelumnya.
“Kami juga berpengalaman dan sudah menawarkan servis ini selama lima tahun, Insya-Allah boleh dipercayai,” jelasnya dalam hantaran di Facebook.
Pada masa sama dia memaklumkan pelanggan tidak perlu membayar wang tukaran terlebih dahulu, servis ini memberi peluang buat mereka yang tidak ada masa kerana bekerja.
“Hanya bayar selepas duit tukaran di hantar pada anda. Tak perlu bagi sebelum dapat duit tukar dan berhati-hati (takut kena scam jika bayar dahulu).
“Ini adalah untuk mereka yang sibuk bekerja dan tak ada masa nak cari bank untuk tukar duit raya,” ujarnya yang menawarkan khidmat di sekitar Pulau Pinang.
Sedar tak sedar sebenarnya ramai menawarkan khidmat sebegini tapi sebolehnya pastikan kesahihannya sebelum memberi duit untuk ditukar, bimbang ditipu dan duit dibawa lari.
Baca juga: Sangkakan dapat pancing ikan besar rupanya peti besi penuh duit