Seorang remaja berdepan dengan detik cemas apabila mendapati biliknya dipenuhi dengan kepulan asap tebal selepas tersedar daripada tidur nyenyak.
Bertindak dengan cepat untuk menyelamatkan diri, remaja tersebut segera berlari keluar dari bilik bagi mengelakkan diri daripada kesukaran untuk bernafas.
Mengejutkan, kepulan asap tersebut rupa-rupanya berpunca daripada letupan telefon bimbit milik remaja yang dikenali sebagai Muhammad Irfan Aiman itu.
Sedang nyenyak tidur ketika kejadian tersebut berlaku, remaja berusia 16 tahun itu mengakui langsung tidak sedar bahawa telefon bimbit miliknya sudah meletup.
Meluahkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur, Irfan turut merasa lega kerana tiada kebakaran besar yang berlaku akibat daripada kejadian tersebut.
Letupan telefon bimbit milik Irfan itu dipercayai berpunca daripada perbuatannya yang gemar mengecas telefon bimbit sepanjang malam ketika sedang tidur.
Menginsafi perbuatannya, remaja yang tinggal di Kulim, Kedah itu bagaimanapun masih mengalami trauma dan tidak boleh tidur di dalam biliknya, lapor Harian Metro.
“Saya mengecas telefon bimbit di atas katil dan tidur di bawah. Saya memang tak sedar apa yang berlaku sehingga 5 pagi, itu pun selepas kakak kejut untuk bangun.
“Waktu itu, bilik sudah dipenuhi asap jadi saya pun segera keluar untuk selamatkan diri dan mengelak sesak nafas. Alhamdulillah, Allah lindungi saya.
“Apa yang berlaku itu akan beri pengajaran buat saya untuk tidak mengecas telefon bimbit ketika tidur atau bermain dengannya ketika proses pengecasan,” katanya.
Tular di media sosial, kejadian yang menimpa Irfan itu mula menyita perhatian ramai selepas dikongsikan kakaknya, Nurain Najihah menerusi satu hantaran di laman TikTok.
Berjaya mendapat tontonan daripada 1.4 juta pengguna TikTok, hantaran itu dimuat naik untuk memberi peringatan mengenai bahaya mengecas telefon bimbit ketika tidur.
“Insiden itu sudah berlaku kepada adik sendiri jadi saya tidak mahu ia terjadi kepada orang lain.” Tegas Nurain.