Ramai peniaga memilih untuk menurunkan harga buah tembikai sehingga ada yang mencecah 99 sen sekilogram ekoran lambakan buah tempatan itu di pasaran sepanjang Ramadan.
Menurut salah seorang peniaga di Alor Setat, Aizuddin Md Shapere, 33, lambakan buah ketika ini disebabkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengeluarkan hasil serentak pada musim ini.
Untuk mengelakkan rugi, dia mengambil keputusan menurunkan harga jualan sehingga 99 sen sekilogram sejak minggu lalu.
Berbanding tahun lalu, dia menjualnya pada harga antara RM3.50 sehingga RM4 sekilogram.
“Harga itu saya tawarkan untuk semua jenis gred buah dari A, B dan C iaitu yang seberat 3 kilogram sehingga 10 kilogram,” katanya memetik Harian Metro ketika ditemui di gerainya di tepi jalan utama di Tandop.
Bagaimanapun katanya, lambakan yang berlaku itu secara tidak langsung memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan tembikai pada harga jauh lebih murah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Pun begitu, Aizuddin tetap berlapang dada kerana dia mahu berniaga sambil bersedekah sempena mengambil keberkatan Ramadan juga.
“Lagi pun saya masih dapat sedikit keuntungan kerana kos pengambilan buah dari kebun juga jauh lebih rendah pada tahun ini.
“Tahun lepas modal pun tinggi, jadi paling murah boleh jual pun RM3.50 sekilogram. Tapi tahun ni beli dari kebun pun murah, tak sampai RM1 lebih. Jadi sebab itu kami boleh buat potongan harga macam ni,” katanya lagi seperti dilapor.
Baca juga: Pemandu teksi diberi RM5,000 sebab bawa penumpang ke airport tepat pada masa