Terengganu kesan 8 kes Omicron

Oleh ARIF ATAN

Sebanyak lapan kes positif varian Omicron dengan kes pertama direkodkan pada15 Disember tahun lalu dikesan di Terengganu.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkata kesemua kes itu membabitkan jemaah yang pulang dari umrah.

Pengarah kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, ia membabitkan dua kes di daerah Kuala Terengganu, Besut dan Dungun manakala satu kes di Kuala Nerus serta Kemaman.

“Kes pertama varian ini direkodkan 15 Disember lalu membabitkan seorang jemaah wanita dari Kuala Nerus yang sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah (HSO).

“Mereka ini dikategorikan pesakit tahap 1 dan 2 dengan kesemua mereka sudah melengkapkan suntikan Covid-19.

“Kesemua kes ini tidak merebak dalam kalangan ahli keluarga atau komuniti memandangkan mereka terlebih dahulu menjalani kuarantin sebaik pulang daripada umrah,” lapor BH.

Pakar sebelum ini mengingatkan sistem kesihatan negara boleh lumpuh jika kes melonjak secara drastik walaupun laporan luar negara menyatakan tahap keparahan bagi jangkitan Omicron ringan dan sederhana teruk.

Setakat ini, jelas Dr Kasemani, kes harian positif Covid-19 di Terengganu menunjukkan penurunan sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, sehingga semalam, kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) berada pada bacaan 0.87.

Ujarnya, kes positif di Terengganu turut menunjukkkan pengurangan apabila pendaftaran kes juga direkodkan berada di bawah 100 kes dalam tempoh tiga hari sehingga semalam.

“Dalam tempoh tiga minggu sebelum ini, kita agak risau dengan kemasukan kes ke hospital dan kematian yang agak tinggi di Terengganu.

“Tetapi dengan tindakan yang diambil, kemasukan kes ke hospital dan kematian juga berkurangan.

“Bagaimanapun, kita sekarang berada pada fasa di mana terdapat peningkatan kes dalam kalangan umrah dan kes Omicron namun di Terengganu ia masih terkawal,” kata Dr Kasemani lagi.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata gelombang varian membimbangkan (VOC) Omicron berkemungkinan besar akan turut melanda Malaysia.

Jelasnya, Malaysia menggunakan beberapa strategi seperti memperluaskan liputan dos penggalak, mengawal pintu masuk antarabangsa dan TRIIS (uji, lapor, pengasingan, maklumkan, dapatkan) dan MySJ Trace bagi mengelakkan penularan Omicron.