Baru-baru ini tular satu perkongsian dari seorang pemuda di platform media sosial mengenai pengalamannya ketika melawat sebuah penjara terletak di Taiping, Perak.
Dalam lawatan tersebut, lelaki itu juga berpeluang untuk mendengar pelbagai pendedahan termasuk tentang latar belakang beberapa banduan yang telah ditahan dipenjara tersebut.
Namun pendedahan paling terkesan sewaktu lawatan itu dijalankan adalah berkaitan dengan kes seorang banduan bergelar bapa yang dihukum penjara selama 75 tahun di atas kesalahan merogol.
Mana tidaknya, ketiga-tiga mangsa yang terlibat di dalam kes menyayat hati itu bukanlah orang lain sebaliknya anak perempuan kepada banduan berkenaan malah alasannya juga cukup menggelikan.
“Selesai tugas di Penjara Taiping. Terlalu banyak cerita aku dapat hari ini. Antaranya dari banduan paling lama dekat dalam (penjara) sekarang ini. Dihukum selama 75 tahun sebab rogol tiga anak dia sendiri.
“Alasan banduan itu adalah ‘sebelum orang lain rasa, baik saya rasa dulu Tuan’. Pergh, bayangkan. Tetapi memang ada. Orang Islam itu. Rumah pula sejenis yang tiada bilik dan terletak di pendalaman.
“Banduan kesalahan seksual paling banyak. Termasuklah datuk rogol cucu. Banduan yang bunuh, cincang mak dia sebab dadah ada juga. Polis yang langgar budak sampai mati dekat Ipoh pun ada, masih kena reman,” katanya.
Perkongsian tersebut dibuat oleh pemuda yang bekerja di dalam sektor kesihatan itu menerusi satu hantaran tular dimuat naik di akaun X (dahulu dikenali sebagai Twitter) miliknya, baru-baru ini.
Dalam hantaran yang sama, pemuda itu turut berkongsi maklumat tentang anggaran kos perbelanjaan makanan harian untuk setiap banduan dihukum penjara di negara ini.
“Kadar makan dan minum sehari untuk setiap banduan di Malaysia adalah RM35.40. Sehari, enam kali makan. Makan dikatakan tiada garam. Minuman pula tidak ditambahkan gula.
“Sebab itulah banduan kena bekerja dekat dalam untuk mendapatkan gaji sebagai motivasi bagi membeli kicap dan gula. Anggaran terdapat 90,000 banduan di seluruh Malaysia.
“Makanan paling popular untuk banduan akhir sebelum kena gantung pula adalah KFC (Kentucky Fried Chicken). Hukuman gantung terakhir dilakukan di Penjara Taiping adalah pada tahun 2018.” Ujarnya.
Baca juga: Berat turun mendadak angkara sihir, Illa Sabry pernah rasa diri macam nak mati