Seorang wanita berputih mata selepas mas kahwin bernilai ratusan ribu ringgit yang dijanjikan bakal suaminya ‘bertukar’ menjadi daun kering.
Kejadian bermula apabila bakal pengantin perempuan, Rosdiana berkenalan dengan seorang lelaki berusia 60 tahun bernama Syamsurizal Bunga Raya, dua bulan lalu.
Rosdiana kemudian memutuskan untuk menerima pinangan dari Syamsurizal selepas lelaki berkenaan bersetuju untuk memberikan mas kahwin bernilai lebih RM500,000.
Lalu Syamsurizal mendatangi kediaman keluarga Rosdiana bersama sebuah bagasi berisi mas kahwin dan namun melarang beg berkenaan dibuka sebelum dibenarkan.
Rosdiana dan keluarga bagaimanapun melanggar ‘pantang’ dengan membuka beg tersebut sebelum pernikahan mereka yang dijadual berlangsung selepas Aidilfitri ini.
Alangkah terkejutnya keluarga terbabit setelah mendapati beg bagasi yang harusnya berisi mas kahwin berupa wang tunai itu dipenuhi dengan timbunan daun kekeringan.
Mengundang kekecohan di kalangan penduduk kampung, kejadian itu berlaku di Kempo yang terletak di wilayah Dompu, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, lapor Detik.
Ketua Polis Daerah Kempo, Ipda Jubaidin memaklumkan pelaku ditahan pihaknya itu sebenarnya bernama Samsudin yang dikatakan memiliki kemampuan ‘ganda wang’.
Samsudin ketika memberi keterangan mendakwa tidak pernah bersetuju memberikan mas kahwin yang bernilai 1.7 bilion rupiah (RM505,271) kepada bakal isteri, Rosdiana.
Walau bagaimanapun, Samsudin telah berjanji membantu Rosdiana yang merupakan janda tiga anak untuk melunaskan semua hutangnya yang bernilai 100 juta rupiah.
“Awalnya mereka tidak mempunyai sebarang masalah sekitar dua bulan hubungan mereka berjalan. Bahkan ibu (Rosdiana) pernah menginap di sini satu malam (daerah Samsudin tinggal).
“Pak cik (Samsudin) ini mengaku mempunyai kebolehan menggandakan wang dan perempuan (Rosdiana) itu juga sudah mengetahui pekerjaan pak cik ini,” kata Jubaidin.
Rosdiana yang tampil membuat laporan polis mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘pukau’ Samsudin kerana semua kemahuan lelaki tersebut dituruti olehnya dan keluarga.
Baca juga: 14 tahun hidup bersama, suami saman isteri lepas dapat tahu isteri rupanya orang Bangla