Terkejut lihat rumah terbakar, lelaki tak teragak-agak dukung ibu uzur, lompat menerusi tingkap

Oleh MAISARAH AISYA

Bila melibatkan kebakaran, barangan sudah tidak menjadi keutamaan tapi orang tersayang perlu diselamatkan hingga ada yang sanggup pertaruh nyawa.

Seorang lelaki di Tanah Merah bertindak mendukung ibunya yang uzur sebelum meredah api dalam kejadian yang berlaku di Bukit Bunga, Kampung Jakar.

Menurut Kosmo! Online, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Kamariah Abdullah baru sahaja selesaikan menunaikan solat subuh dan terdengar jeritan cucunya, Norhusnina Md.Idrus.

Bapa saudara Norhusnina, Mohd. Shukran Abdul Hadi terus bertindak mengusung nenek yang berusia 78 tahun.

Mohd. Shukran dikatakan menendang bahagian tingkap sebelum meredah kebakaran untuk keluar dari rumah.

“Difahamkan, kebakaran berpunca daripada litar pintas dari bilik sepupu saya, Muhammad Reezky Abdullah, 13, yang ketika itu sedang tidur.

“Muhammad Reezky melihat api menyambar tilamnya sebelum dia bergegas keluar dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapanya,” katanya seperti dipetik Kosmo! hari ini.

Semua sempat selamatkan diri

Dalam pada itu Norhusnina memaklumkan, dua buah keluarga yang terdiri daripada tujuh orang termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan tinggal di dalam rumah tersebut.

Ujarnya lagi, semua ahli keluarganya keluar sehelai sepinggang dan tidak sempat membawa keluar semua dokumen dan wang tunai sebanyak RM1,500 yang berada di dalam rumah.

“Dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Perdana milik bapa saudaranya turut terbakar dalam kejadian itu.

“Saya menganggarkan kerugian mencecah RM200,000 termasuk rumah milik nenek,”ujarnya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Ahmad Zailan Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.36 pagi tadi mengenai kebakaran sebuah rumah separuh kekal.

Katanya, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah berkenaan semasa tiba di lokasi kejadian.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dan rumah itu dianggarkan terbakar hampir 90 peratus,” katanya.

Baca juga: Ada 3 jenis sihir popular paling banyak digunakan Melayu, Ustaz Kazim rupanya terkena sihir yang ini