Tular sebelum ini dakwaan bekas pekerja satu stesen televisyen milik selebriti terkenal bahawa dia tidak dibayar gaji.
Bukan setakat gaji malah bekas pekerja tersebut memaklumkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso juga tertunggak.
Disebabkan itu ramai membuat andaian bahawa stesen televisyen, Suke TV milik pengacara Datuk Ac Mizal bakal dihentikan operasi tak lama lagi.
Bagaimanapun Ac Mizal tampil menafkan dakwaan tersebut dan menyatakan stesen televisyen miliknya masih beroperasi dan belum bankrap lapor Kosmo! Online.
“Suke TV berjalan seperti biasa, belum bankrap dan masih beroperasi.”
“Akan ada berita gembira tidak lama lagi. Alhamdulillah, kami sudah tiga tahun, banyak perancangan bakal direalisasikan selepas ini,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Mengenai dakwaan bekas pekerja yang tular di media sosial, AC memilih menyelesaikan hal tersebut mengikut saluran undang-undang.
“Perkara itu sekarang dalam peringkat mahkamah, kami kini berbalas saman dan saya serahkan kepada pihak peguam untuk menguruskannya.
“Urusan itu juga akan berjalan selepas raya, memang tiada perjumpaan luar kerana saya lebih suka selesaikan di mahkamah,” jelasnya.
Dalam pada itu, AC menganggap setiap perniagaan ada turun naik, disebabkan persaingan dengan stesen TV lain lebih besar maka dia perlu merancang semuanya dengan lebih teliti.
“Asam garam perniagaan ada turun naik tetapi kami cuba uruskan dengan sebaik mungkin.
“Kadangkala perniagaan ini memerlukan perancangan yang betul, saya tidak mahu hebahkan tetapi semuanya terbengkalai.
“Disebabkan kami bersaing dengan stesen televisyen lain, kami kena lihat masa sesuai.
“Pelaburan diperlukan untuk konten besar jadi kami perlu pastikan stesen lain memberi ruang kepada kami yang kecil,” tambahnya.
Baca juga: Rakyat Malaysia bergaji kurang RM5,000 paling ramai buat hutang ‘pay later’