Terlupa bawa pasport, wanita Singapura dakwa polis trafik Malaysia pau RM10,000

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita asal Singapura tidak menyangka tindakannya yang lupa membawa pasport mengundang padah apabila ditahan oleh polis trafik Malaysia.

Berdepan dengan detik cemas, wanita warga asing itu terperanjat ketika polis berkenaan meminta bayaran sebanyak RM10,000 untuk dilepaskan.

Ketika kejadian, wanita itu difahamkan dalam perjalanan pulang daripada membeli barang dapur di pusat beli belah sekitar Sunway City, Iskandar Puteri, Johor.

Duduk di tempat penumpang, wanita itu menaiki kenderaan dengan nombor pendaftaran Malaysia bersama rakannya yang juga warga Singapura.

Sepanjang dalam perjalanan, wanita yang dikenali sebagai Marissa itu menyedari bahawa pihak polis trafik sudah mula mengikut mereka dari jauh.

Oleh sebab itu, mereka bertindak memperlahankan kenderaan sebelum polis trafik menyalakan siren dan meminta agar rakyat Singapura itu berhenti.

Kongsi Marissa, dia dan rakannya gagal memenuhi permintaan pihak polis untuk menunjukkan pasport kerana dokumen itu tertinggal di rumah.

Anggota trafik berkenaan kemudian didakwa telah mendesak dan mengancam Marissa untuk membayar wang sebanyak RM10,000.

“Ada lima orang pegawai. Seorang jaga pintu penumpang (saya tak turun). Kerana terlupa membawa pasport, mereka meminta saya membuat bayaran.

“Saya tidak membawa wang tunai yang banyak kerana rumah keluarga rakan saya terletak berhampiran dengan pusat beli belah itu.

“Tetapi pegawai itu tetap berkeras dan meminta bayaran RM10,0000 atau saya akan dilarang memasuki Malaysia untuk lima tahun akan datang.” Katanya.

Mencuba untuk berunding, Marissa mendapat ilham untuk mempelawa anggota berkenaan pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) terdekat.

Khuatir jika perbuatan mereka akan dirakam kamera litar tertutup (CCTV), anggota tersebut ‘hanya’ meminta kesemua wang tunai yang berada di dalam beg Marissa.

“Pegawai itu takut dan meminta semua wang tunai yang kami ada sebagai YURAN TUISYEN kerana telah ‘mengajar’ undang-undang di Malaysia.

“Dipendekkan cerita, oleh kerana kami berdua sangat penat, saya memberi wang lebih kurang RM500 supaya mereka melepaskan kami.” Ulas Marissa.

Tular di media sosial, pengalaman itu dikongsi Marissa menerusi halaman Lemon8 sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Baca juga: Lama tak muncul di kaca televisyen, ramai terkejut tengok keadaan terkini Ibnor Riza