Seorang wanita berkongsi pengalaman kurang menyenangkan apabila suaminya didakwa terpaksa membayar RM1,080 selepas sebuah botol tester minyak wangi mewah pecah ketika mengunjungi sebuah butik wangian di IOI City Mall, Putrajaya.
Menerusi perkongsian di Threads, Ayuya.mn berkata mereka hanya singgah melihat-lihat koleksi minyak wangi di butik berkenaan selepas selesai membeli-belah.
Menurutnya, ketika hendak meninggalkan premis, suaminya meletakkan semula sebotol minyak wangi sebelum sebuah lagi botol yang berada di belakangnya terjatuh lalu pecah.
“Muka kami tenang, tapi satu kedai pelanggan lain semua ‘wow’. Saya terus tanya suami harga minyak wangi itu. Dia jawab lebih RM1,000 dengan tenang,” katanya.
Ayuya memaklumkan kakitangan butik kemudian mengambil gambar botol yang pecah dan membersihkan serpihan kaca sebelum menunjukkan notis yang memaklumkan bahawa barang yang pecah dianggap telah dibeli.
Katanya, mereka mengakui kejadian itu berpunca daripada kesilapan sendiri dan memohon maaf kepada pihak butik.
Bagaimanapun, selepas berbincang dengan pengurusan, mereka diberikan diskaun sebanyak 20 peratus kerana botol yang pecah merupakan botol tester yang tidak penuh.
Berdasarkan resit yang turut dikongsikan, pasangan itu membayar RM1,080 bagi minyak wangi berkenaan selepas menerima diskaun daripada harga asal RM1,350.
Wanita itu turut mendakwa kakitangan butik memaklumkan kejadian botol tester pecah bukanlah sesuatu yang luar biasa.
“Mereka kata ramai juga yang pernah pecahkan. Pelajar pun ada, staf sendiri pun pernah. Ada juga pelanggan yang tak nak bayar sampai polis datang,” katanya.
Namun, dia mengakui sedikit terkilan kerana terpaksa membayar bagi botol tester yang telah pecah tanpa menerima produk untuk dibawa pulang.
“Saya cuma fikir, bayar tapi tak dapat apa-apa. Akhirnya dapat tester 1.5 mililiter saja,” katanya.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah yang mempersoalkan sama ada pelanggan wajar dikenakan bayaran bagi botol tester.
“Untuk makluaman, saya bekas pengurus KENS! Kenapa bayar minyak wangi itu? Itu cuma tester, tak perlu bayar pun! Pergi buat laporan! Big scam!,” komen Myra.
“Setahu saya, kalau tester pecah, tak perlu bayar. Sepatutnya boleh pertahankan hak. Itu cuma tester. Stok itu pun dah di-write off,” komen Raihan.
“Hmm… macam pelik pula. Kalau dah tahu botol itu mudah pecah, kenapa kedai tak buat apa-apa untuk tingkatkan aspek keselamatan?
“Mereka sanggup biarkan botol minyak wangi itu pecah dan pelanggan pula perlu bayar harga penuh untuk sebotol minyak wangi, sedangkan yang pecah itu hanyalah tester?
“Tambahan pula, perkara ini dikatakan sudah berlaku banyak kali,” komen Nurul.
Dalam perkembangan terbaharu, wanita itu memaklumkan telah menghantar maklum balas kepada pihak KENS melalui laman web rasmi syarikat selepas ramai netizen menggesanya berbuat demikian.
“Ramai suruh saya e-mel, saya dah hantar maklum balas melalui laman web KENS. Kalau ada sebarang perkembangan, saya akan kongsikan.
“Terima kasih untuk perkonsian. Tujuan saya membuat hantaran hanyalah untuk berkongsi pengalaman hari ini dan saya tak sangka ia dapat banyak reaksi,” katanya.
Baca juga: Dataran Merdeka Dipenuhi Sampah Sarap Selepas Tayangan Perlawanan Akhir Piala Dunia – DBKL