Tiada alasan GPS bubar DUN ketika kes Covid-19 di Sarawak belum reda, kata DAP Sarawak

Oleh KIM SYAZIE

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak, David Wong Kee Woan mendesak Ketua Menteri negeri itu untuk menjelaskan khabar angin berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat ini.

Ini kerana katanya, kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak ada alasan atau keperluan bagi membubarkan DUN memandangkan kes positif Covid-19 di negeri ini belum reda lagi.

“Walaupun jumlah harian kes Covid-19 baru telah menurun selama beberapa minggu ini tetapi ia adalah disebabkan ujian yang dilakukan setiap hari telah berkurang secara drastik.

“Sebenarnya kadar positif di Sarawak setakat semalam seperti yang dilaporkan oleh portal COVIDNOW adalah 12.0%, dan wabak itu masih teruk di negeri ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan menegaskan berdasarkan banyak petunjuk Covid-19, seperti kes kematian, kemasukan ke hospital, penggunaan tempat tidur ICU, kadar positif dan di negeri ini adalah masih membimbangkan.

“Dalam 14 hari terakhir, sebanyak 790 kes kematian dicatat di Malaysia, 150 di antaranya berasal dari Sarawak. Yang paling kita risau ialah kepada golongan remaja serta golongan tua yang telah mencatat rekod lebih daripada tiga perempat kes kematian di negeri ini.

“Kumpulan ini masih dalam proses mendapatkan suntikan sama ada dos pertama dan kedua bagi golongan remaja atau dos penggalak untuk warga emas, ‘ tegas beliau.

Justeru, kata Wong kerajaan negeri harus mendengar suara rakyat dan sentimen masyarakat umum untuk menentang idea diadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat ini.

“Belanjawan Sarawak 2022 telah dipersetujui dan sebagai kerajaan ia akan dapat melanjutkan pelaksanaan seperti dalam Belanjawan 2022.

” Oleh demikian, kerajaan negeri harus fokus untuk mengajak rakyat kembali berdiri dan membantu memulihkan ekonomi negeri.

“Dan sekiranya kerajaan negeri di bawah GPS tulus melindungi hak-hak rakyat Sarawak, ia seharusnya mendorong reformasi yang sangat diperlukan dan bukannya merugikan hak rakyat selama beberapa dekad ini, ‘ tambah Wong.