Baru-baru ini, satu rakaman memaparkan seorang warga emas sedang menyusukan seekor anak kucing berwarna putih tular di platform media sosial dan berjaya mencuit hati orang ramai.
Namun perkara yang lebih mencuri tumpuan orang ramai adalah tempat haiwan itu disusukan iaitu lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat Negeri Pahang diadakan di Padang MBK 1 Kuantan.
Menurut perakam video yang juga anak kepada warga emas terbabit, ibunya khuatir dengan keadaan kesihatan ‘bayi’ kucing itu jika ditinggalkan di rumah ekoran tiada orang untuk menyusukan haiwan berkenaan.
Lebih menyedihkan, anak kucing itu juga ketiadaan ibu menyebabkan warga emas terbabit turut ‘mengangkut’ haiwan berkenaan untuk menyaksikan perbarisan dan perarakan bersempena kemerdekaan di peringkat negeri.
“Perangai ‘random’ (rawak) mak aku bawa anak kucing yang tiada ibu pergi tengok sambutan merdeka. Sebab dekat rumah tiada orang nak tolong berikan susu. Asalkan mak gembira,” katanya dalam hantaran di platform TikTok.
Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu telah berjaya meraih hampir setengah juta tontonan dan 35,000 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mengakui terhibur menonton rakaman tersebut.
Ramai juga pengguna tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan komen mencuit hati berhubung kejadian itu dengan mengatakan bahawa bayi boleh mengalami penyakit kuning jika tidak disusukan secara kerap.
“Tahniah, kerapkan bagi susu. Kalau tak susukan, kuning dia naik tinggi nanti. Lama-lama jadi oren. Nanti susah pula nak jaga,” seloroh seorang pengguna mengenai perangai kucing berwarna oren yang terkenal nakal.
“Hati-hati kak. Kalau berikan susu dekat kucing dari kecil macam ini, apabila sudah besar kemungkinan dia boleh gantikan tempat Kakak sebagai anak and ambil geran rumah.” Kongsi pengguna lain yang turut meninggalkan komen mencuit hati.
Baca juga: Tak pernah ‘naik tangan’ dekat anak, Talita dedah Shuib sebenarnya garang