Puteri Balqis sangkal dakwaan hubungan terlarang, kenalkan bapa tiri dan tunang

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon muda berbakat, Puteri Balqis tampil menjelaskan status hubungan sebenarnya dengan dua orang pemuda selepas menerima pelbagai tuduhan dilemparkan netizen termasuklah mengenai hubungan terlarang.

Menerusi hantaran video dimuat naik di platform TikTok, pelakon berusia 18 tahun terbabit mendedahkan bahawa kedua-dua pemuda yang sering dilihat bersamanya itu tidak memiliki pertalian darah dengannya.

Sebaliknya, lelaki dikenali sebagai Faris sebenarnya adalah suami kepada ibunya iaitu bapa tirinya sendiri manakala seorang lagi pemuda yang bernama Didi pula merupakan tunangnya.

Pelakon yang mesra lebih disapa Aqish itu juga sempat berkongsikan penghargaan kepada bapa tirinya kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dengan baik walaupun baru berusia 25 tahun.

“Faris adalah bapa tiri saya. Tetapi saya tak suka panggil dia bapa tiri. Sebab dia adalah insan yang melangkah ke hadapan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa. Ini pula Didi, tunang saya.

“Dahulu Faris ini adalah kawan baik saya dan ibu selama lapan tahun. Sebelum bertukar status sebagai suami ibu dan bapa tiri kepada saya. Tetapi saya nak cakap Apak, saya sangat menghormati Apak.

“Faris dan Didi kedua-duanya merupakan orang asing yang langsung tiada pertalian darah dengan saya. Tetapi secara kebetulan mempunyai rupa paras, personaliti dan cita rasa yang hampir sama,” jelasnya.

Difahamkan, penjelasan tersebut dibuat susulan segelintir pengguna media sosial bertindak mengecam serta menuduh Puteri Balqis dan ibunya menjalinkan hubungan terlarang bersama ahli keluarga sendiri.

Menerusi perkongsian yang sama, Puteri Balqis juga turut bercerita mengenai cabaran dalam hubungannya dengan Didi sebelum ini berhubung keadaan kesihatan dialami oleh ibunya.

“Dahulu ketika nak menjelaskan keadaan keluarga saya kepada Didi, rasa agak nak pecah kepala. Sebab ibu saya perlukan masa kerana ada hari dia kelihatan normal untuk beberapa jam. Tetapi ada masa dia seperti kanak-kanak.

“Kadang-kadang ibu juga kelihatan seperti tentera. Dia ada masalah mental yang sangat teruk. Tetapi nasib baik keluarga bakal mentua memahami keadaan kami. Ibu saya bukan beban.

“Cuma cabarannya berbeza untuk menjaga seseorang yang selama ini melalui begitu banyak pengalaman hidup cukup perit,” kongsinya berharap orang ramai memahami keadaan ibunya dan tidak mengecam wanita terbabit.

Baca juga: “Anak jutawan tapi menyedihkan” – Aliff Syukri hadiah Porsche untuk jaga imej anak