Beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat, Johor pada waktu Subuh tadi tular di media sosial.
Menerusi satu hantaran tular di platform Threads, seorang wanita meluahkan rasa khuatir apabila keluarganya yang tinggal di daerah tersebut turut merasakan gegaran pada sekitar jam 6.13 pagi itu.
Wanita terbabit hanya mampu mendoakan keselamatan keluarganya dan penduduk dan mengatakan bahawa tiada kejadian yang mustahil berlaku jika Allah sudah berkehendak.
“Gempa bumi di bumi Segamat. Subhanallah. Tiada yang mustahil jika Allah berkehendak. Semoga Allah melindungi keluargaku di sana. Ada sahabat-sahabat dari sana yang rasa gegaran subuh tadi?
“Kamu semua rasa dekat kawasan mana? Semoga baik-baik semuanya,” kongsi wanita terbabit sambil berkongsikan maklumat gempa bumi di telefon pintar yang merekodkan gegaran berkenaan.
Pengguna Threads lain dikenali sebagai Wawabluetory pula menyangka bahawa dirinya terkena gangguan dari makhluk halus apabila terasa katilnya bergegar pada awal pagi tadi.
Difahamkan gempa bumi lemah tersebut menyebabkan wanita terbabit terjaga daripada tidur yang lena sebelum menyedari punca sebenar menyebabkan katilnya bergegar.
“Ingatkan hantu kacau tadi. Bergegar katil terus bangun,” kongsi wanita itu dalam perkongsian mengenai kejadian gempa bumi yang berlaku di lima kilometer (km) barat dari pusat bandar Segamat dengan kedalaman 10 km.
Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook memaklumkan bahawa tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
Penduduk bagaimanapun dinasihatkan untuk menjauhi sebarang struktur-struktur yang tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
“Saya telah berhubung dengan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi dan dimaklumkan bahawa setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan.
“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan ini dengan teliti bersama agensi berkaitan. Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan terus membuat pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar negeri Johor serta seluruh negara sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah.” Ujarnya dalam kenyataan tersebut.
Baca juga: Buka air-cond serentak dengan kipas bukan buat bilik makin sejuk pun