Bukan mudah untuk membuka kisah silam, apatah lagi jika pengalaman itu meninggalkan luka mendalam yang masih berbekas hingga ke hari ini.
Pernah menjadi mangsa gangguan seksual sejak zaman kanak-kanak hingga bergelar pelakon, Diana Danielle tampil berkongsi dalam satu program audio siar.
Kongsinya, di usia sekitar 15 hingga 16 tahun, dia pernah diganggu oleh seorang kru produksi yang menghantarnya pulang usai tamat penggambaran.
“Sebenarnya, ketika saya berada dalam industri ini, saya rasa masa itu umur saya sekitar 15 atau 16 tahun, ketika saya kembali bekerja.
“Waktu itu, ibu saya sudah bergelar ibu tunggal. Jadi, apabila saya pulang daripada penggambaran, ibu tidak dapat menemani sebab ada ada urusan lain.
“Seorang lelaki dari kru produksi hantar saya balik dengan keretanya sendiri. Saya minta nak turun dekat lobi tapi dia macam eh kejap.
“Dia kata mahu berbual dengan saya. Saya pun bertanya, ‘Nak cakap pasal apa? penat dah ni, nak balik.’
“Tiba-tiba, dia pegang paha saya. Disebabkan saya pernah menjadi mangsa sebelum ini, saya terus tegas dan kata, jangan sentuh saya. Kalau nak berbual, tak perlu sentuh,” kongsinya dalam audio siar tersebut.
Kongsinya, jika dia tidak bertegas berkata tidak mungkin sahaja ada yang mengambil kesempatan atas dirinya.
“Saya rasa kita kena tegas dalam situasi macam itu. Kadang-kadang memang menakutkan untuk bersikap tegas dalam ruang yang sempit, sebab apa sahaja boleh berlaku.
“Tapi entah mengapa, bila perkara sebegitu jadi pada saya, yang timbul hanyalah rasa marah. Akhirnya dia faham yang dia tak boleh ambil kesempatan terhadap saya,” kongsinya.
Baca juga: Jenama Apple sekarang main ‘content’ macam orang biasa