Pelawak terkenal, Jep Sepahtu mengakui dirinya masih sayangkan persahabatan yang telah lama dibina bersama rakan seperjuangannya, Shuib.
Menyangkal dakwaan bahawa mereka bergaduh, Jep berkata kenyataan yang dikeluarkannya baru-baru ini hanya untuk menjelaskan keadaan sebenar.
Tidak mahu tersebar berita yang tidak sedap atau fitnah, Jep hanya ingin menjawab persoalan penonton Sepahtu Reunion Live (SPL).
Katanya, dia tidak ingin isu berkenaan menjejaskan hubungannya bersama sahabat yang sudah dikenalinya dari kampung, Shuib dan Mamat.
“Mestilah sayang. Saya sayang kawan-kawan saya. Yang saya cerita baru-baru ini hanyalah penjelasan keadaan.
“Lagipun penulisan tersebut tidak menyentuh perkara lain tetapi kenyataan isu berbangkit,” katanya.
Mengulas lanjut, Jep juga berkongsi pendapat bahawa kadangkala sahabat perlu kekal sebagai sahabat dan tidak sesuai bergelar rakan sekerja.
Menurut Jep, telah lama berkawan tidak menjamin keselesaan untuk turut berkongsi pekerjaan yang sama.
Namun begitu penyampai radio Sinar FM itu menegaskan bahawa isu yang sedang berlegar sekarang ini langsung tidak menjejaskan tali persahabatannya bersama Shuib.
Terdahulu, industri hiburan gempar apabila Jep mendedahkan bahawa Shuib sebenarnya digantung dari SRL kerana berkelakuan lucah sebelum menarik diri dari program itu.
Baca juga: Kes pecah amanah: Bekas pegawai dedahkan wang digunakan Syed Saddiq bukan milik Bersatu