“Tidak tertulis nama Noh”, rupanya ini sebab Mizz Nina tarik kes hak penjagaan Musa

Oleh WAN SITI AMINAH

Aktivis kemanusiaan, Mizz Nina akhirnya menjelaskan tujuannya menarik semula kes tuntutan hak penjagaan penuh ke atas anak angkatnya iaitu Musa.

Menurut Mizz Nina, kes tersebut tidak sepatutnya menjadi pertikaian kerana dirinya sudah mempunyai dokumen lengkap sebagai satu-satunya penjaga Musa yang sah.

Pemilik nama sebenar Shazrina Azman itu juga mengakui turut mempunyai dokumen yang menyatakan bekas suaminya, Noh Salleh bukanlah penjaga Musa, lapor Mstar.

Dengan penjelasan tersebut, bekas penyanyi yang berusia 44 tahun itu menegaskan bahawa kes Musa ini melibatkan hak pengambilan anak angkat bukanlah penjagaan.

“Saya mempunyai dokumen anak angkat yang mana ia tidak tertulis nama Noh. Jadi dengan adanya dokumen ini, bermaksud sudah tiada pertikaian (hak penjagaan).

“Saya ingin tegaskan, tiada lagi pertikaian sebab ini bukan kes hak penjagaan dan kami mempunyai dokumen anak angkat yang lengkap.

“Sebagaimana peguam sudah jelaskan, selepas ini tiada lagi pergaduhan kerana ia seratus peratus (kes) hak pengambilan anak angkat,” katanya memetik laporan Mstar.

Mengulas lanjut, Mizz Nina memaklumkan dirinya hanya mahukan Musa membesar dalam keluarga yang stabil untuk membantu proses pembesaran kanak-kanak itu.

Sementara itu, Fakhrul Azman Abu Hassan selaku peguam syarie yang mewakili Nina memberitahu tiada keperluan untuk Noh membuat tuntutan hak penjagaan bersama.

Hal ini kerana, anak guamnya sebelum ini telahpun mendapat hak penjagaan anak angkat secara penuh menerusi dokumen sah yang sudah dipersetujui bersama.

“Hak anak angkat diberikan sepenuhnya kepada Mizz Nina. Jadi tiada isu mengenai perkara ini dan tiada siapa boleh lawan. Tiada lagi pergaduhan. Ini bukan kes hak penjagaan. 

“Kami sendiri ada surat mengenai anak angkat,” ulas Fakhrul sejurus selesai prosiding penarikan semula kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada pagi Selasa.

Terdahulu, Noh didakwa telah melarikan Musa pada 19 November tahun lalu tanpa kebenaran Mizz Nina yang ketika itu dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

Vokalis kumpulan Hujan itu bagaimanapun menyangkal dakwaan wujudnya unsur penculikan sebelum menyerahkan kembali Musa kepada bekas isterinya pada 13 Januari 2024.

Baca juga: Tak mahu aset jadi pengukur kejayaaan, Shila Amzah selesa tinggal di rumah kecil