Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam insiden yang melibatkan keganasan terhadap Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Suzilme Affendy Sulaiman yang cedera ketika mengawal keadaan sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, di sini, hari ini.
“Insiden menyerang sehingga mencederakan penjawat awam yakni Ketua Polis Daerah Dang Wangi oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab adalah perbuatan keji dan mesti dikecam.”, kata Anwar di hantaran facebooknya.
Katanya lagi, kerajaan menghormati hak rakyat untuk berhimpun tetapi mesti patuh tunduk kepada undang-undang.
“Kerajaan hormat hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.”
“Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang.”
“Saya telah menggesa pihak berkuasa untuk segera menjalankan siasatan dan lekas memberkas dalang dan penyerang yang bertanggungjawab mencederakan.”