Tinggal di rumah kebajikan lepas suami meninggal, wanita teruja anak akhirnya beli rumah lepas 15 tahun

Oleh MAISARAH AISYA

Hidup di zaman ekonomi sekarang menyebabkan suami dan isteri terpaksa bekerja untuk meneruskan gaya hidup dan jika terjadi musibah, masih ada pendapatan yang masuk.

Apatah lagi jika suami meninggal tanpa ada sebarang simpanan di kemudian hari, maka kehidupan biasa pun boleh bertukar 360 darjah.

Tidak mampu membayar kediaman menjadi punca seorang balu terpaksa tinggal di rumah kebajikan.

Wanita yang dikenali sebagai Rasima Yunos sudah 15 tahun menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah kebajikan di Singapura.

Menurut laman berita AsiaOne, wanita itu akhirnya akan meraikan hari lebaran di rumah baharu yang dibeli oleh anak lelaki sulungnya.

Menurut akhbar Shin Min Daily News, Wanita berusia 61 tahun dan seorang lagi anak lelakinya berpindah ke pangsapuri dua bilik di Sengkang, semalam.

Sebelum ini, keluarga tersebut kehilangan rumah pada 2009 selepas suami kepada Rasima meninggal dunia.

Disebabkan tidak mampu membayar balik pinjaman perumahan, Rasima tidak mempunyai pilihan selain menjual pangsapuri empat bilik milik mereka.

Rasima kemudian berpindah ke rumah kebajikan, manakala anak lelakinya dihantar ke Rumah Anak Yatim Darul Ihsan.