Tolak ajakan bersama, gadis tak sangka dikasari ‘rakan’ FB sampai tengkorak retak

Oleh MAISARAH AISYA

Seharusnya setiap individu lebih berhati-hati untuk berjumpa rakan media sosial, apatah lagi jika ia pertemua pertama.

Seorang gadis berusia 18 tahun tidak menyangka niatnya bertemu rakan Facebook untuk menemani lelaki tersebut mengambil barang akhirnya bertukar tragedi.

Menurut India Today, kejadian berlaku di Mumbai, India menyaksikan suspek ‘memancing’ mangsa ke flat rakannya pada 11 Ogos lalu.

Suspek yang juga seorang pengarah mencari bakat baru, Deepak Malar bertindak mengunci mangsa sebelum memaksa gadis tersebut melakukan hubungan seksual.

Menurut polis, gadis tersebut cuba melawan namun suspek bertindak ganas dengan menghentak kepalanya ke dinding dan melemaskannya menggunakan bantal.

Suspek panik apabila melihat mangsa tidak bergerak dan menganggap gadis tersebut sudah mati, maka dia mengunci dari luar dan lari ke bandar.

Bagaimanapun, mangsa yang masih berada dalam keadaan sedar akhirnya meminta pertolongan daripada jiran untuk menghubungi pihak polis.

Tambah polis, gadis itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan muka dan suspek berjaya dijejak melalui maklumat aktiviti di telefon bimbitnya.

Berdasarkan pengakuan suspek, dia dikatakan berniat untuk membunuh gadis tersebut kerana berang keinginan nafsunya ditolak.

Deepak kemudian didakwa atas kesalahan cubaan membunuh, menyerang dan membuat ugutan jenayah manakala mangsa masih lagi dirawat di hospital.

Baca juga: Kahwin hanya 2 tahun, jutawan minta bekas isteri pulangkan aset RM56 juta