Tolak bayaran secaran ansuran, juara GV4 nak lelong tanah dimenanginya

Oleh MAISARAH AISYA

Isu penyanyi yang juga juara Gegar Vaganza 4, Datuk Aishah masih belum selesai selepas kegagalan penaja, Datuk Seri Amir Mohd Isa membayar cadangan pembayaran secara ansuran oleh mahkamah.

Memetik Utusan Malaysia, Aishah memilih untuk meneruskan tindakan melelong lot tanah kemenangannya ketika menjuarai GV4

Aishah memaklumkan sudah menerima cadangan pelan pembayaran baharu buat kali ketiga daripada pihak penaja sebagai penyelesaian bayaran jumlah asal harga tanah yang dijanjikan, RM300,0000.

Namun pihak penaja masih gagal melangsaikan pembayaran sebanyak dua kali sebelum ini.

Disebabkan itu, dia nekad untuk meneruskan tindakan lelongan lot tanah di Cyberjaya tersebut.

“Selepas saya mengemukakan writ penyataan, pihak penaja ada memberi cadangan untuk pelan pembayaran baharu secara ansuran lima kali. Tetapi ini adalah cadangan kali ketiga.

“Sebelum ini pun dia tidak membayar mengikut jadual yang telah ditetapkan mahkamah.

Jadi saya menolak cadangan tersebut dan nekad untuk melelong lot tanah berkenaan,” ujarnya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Tambah Aishah, usahawan tersebut sudah diisytiharkan muflis maka dia kini menuntut pembayaran daripada isteri serta anak usahawan tersebut yang merupakan rakan perniagaan bersama.

“Ketika perbicaraan di mahkamah September lalu, baru saya dan pihak peguam termasuk yang mewakilinya tahu dia sudah muflis. Jadi proses tersebut buang masa sahaja.

“Malah dia juga sudah beberapa kali menukar peguam. Jadi kami teruskan tuntutan kepada dua orang rakan perniagaan yang juga merupakan isteri dan anaknya,” ujarnya.

Walaupun diserang warganet dek kerana usahawan tersebut diserang penyakit angin ahmar, namun Aishah tetap pertahankan tindakannya.

“Memang orang kecam sebab dia dikhabarkan diserang angin ahmar, tetapi kes ini sudah berlarutan selama enam tahun. Dia baru diserang penyakit itu empat bulan lepas.

“Saya akan teruskan dan usahakan. Sebab itu hak saya. Saya juga sudah sampai tahap ini, takkan nak hentikan?

“Janganlah salahkan orang lain. Ada banyak masa sepanjang enam tahun itu untuk selesaikan masalah ini,” katanya.

Baca juga: Kongsi video nyanyi dengan penyodok, Aliff Syukri bakal berduet bersama Ira Kazar?