Jenazah pekerja kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Kampung Batu Kuala Lumpur, Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Darul Sakinah, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, malam ini.
Allahyarham merupakan antara 24 mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Fathers’s Organic Faram, Batang Kali, Hulu Selangor.
Solat jenazah disempurnakan di Masjid Abu Hurairah, Batu Lima, Jalan Ipoh selepas solat Isyak sebelum dibawa ke tanah perkuburan Islam Darul Sakinah, dipetik Utusan Malaysia.
Difahamkan, Nurul Azwani mengikuti rombongan 20 guru SJKC Mun Choong serta berkhemah di lokasi kejadian sejak Rabu, 14 Disember lalu.
Sementara itu, Nor Azman Mat Zain, 48, iaitu sepupu kepada Nurul Azwani Kamarulzaman berkata aktiviti perkhemahan itu adalah kali pertama disertai arwah.
“Kami sekeluarga tahu dia mengikuti rombongan perkhemahan sekolah itu. Dia bekerja di kantin sekolah berkenaan.
“Ini juga kali pertama dia terbabit dengan aktiviti perkhemahan. Dia pergi Rabu lalu dan ikutkan dia balik semalam,” lapor BH.