Tragedi UPSI: Pemandu bas akan direman selepas rawatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Nahas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik menjadi satu detik hitam yang menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Pelajar yang sepatutnya bakal menjadi pendidik generasi akan datang terkorban akibat kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku.

Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam nahas meragut nyawa 15 pelajar UPSI di Gerik semalam akan direman selepas dia dibenarkan keluar dari hospital lapor Kosmo! Online.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, pemandu itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping akibat kecederaan yang dialaminya dalam kejadian tersebut.

“Lelaki itu masih mendapatkan rawatan di hospital. Kita tunggu dia discaj dulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Sebelum ini media melaporkan rakaman percakapan pemandu bas berusia 39 tahun itu belum diambil ekoran masih mendapatkan rawatan di hospital.

Menurut beliau, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam semalam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik, seramai 15 pelajar UPSI, lima lelaki dan 10 perempuan dilaporan maut.

Ini adalah selepas bas yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.

Bas persiaran yang disewa khas itu dikatakan sedang dalam perjalanan dari Jertih ke kampus UPSI di Tanjung Malim ketika kemalangan berlaku.

Manakala empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Baling.