Trump dan Xi Jinping akan bertemu di Malaysia, kata Anwar

Oleh ROSLAN ZAMAN

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijangka hadir bertentang mata di Malaysia pada sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober depan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sambutan Hari ASEAN ke-58 pada jumaat.

Menurut Anwar, persidangan yang akan diadakan di Kuala Lumpur itu akan turut dihadiri oleh Presiden Brazil, Lula Da Silva dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa yang kini memegang jawatan Pengerusi BRICS serta G20.

Menurutnya, sidang kemuncak itu bakal menjadi suatu perhimpunan sebenar yang menghimpunkan pusat-pusat kuasa dan pengaruh utama dunia.

“Kita amat menantikan kehadiran ketua-ketua kerajaan ASEAN serta rakan dialog kita, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan saya percaya Presiden Xi Jinping dari China,” katanya dalam ucapan.

Menyifatkan kehadiran pemimpin dunia ke pentas ASEAN sebagai langkah pertama, beliau berkata, ujian lebih besar adalah untuk memastikan kuasa-kuasa besar dunia pulang dengan keyakinan dan hasil yang memberi nilai berpanjangan.

“Seluruh dunia akan memerhati. Kita mesti memanfaatkan peluang ini (kerana) ini adalah masa untuk menilai semula dan melihat sejauh mana perjalanan kita (ASEAN).

“Saya yakin para pengasas ASEAN akan berbangga dengan kemajuan namun, kita tidak boleh menganggap bahawa motivasi dan kebimbangan yang mendorong penandatangan Deklarasi Bangkok 1967 sudah tidak relevan,” kata beliau dalam ucapannya.

baca: Anwar Ibrahim