Tuan rumah lalai tak kunci pintu belakang, nasib baik pencuri mabuk

Oleh KIM SYAZIE

Mengunci pintu rumah amatlah penting bagi menjaga keselamatan diri dan keluarga daripada senang dimasuki orang yang berniat jahat.

Namun, kelalaian penghuni rumah yang tidak mengunci pintu belakang menyebabkan pencuri menyelinap ke dalam kediaman tersebut.

Namun ketika sedang mengambil barang, pencuri tersebut menjumpai minum keras milik penghuni rumah dan meminumnya.

Suspek ditemui sedang tidur di ruang tamu rumah berkenaan selepas mabuk akibat minuman keras itu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata pengadu berusia 65 tahun terkejut apabila melihat suspek sedang berbaring tidak sedarkan diri di ruang tamu.

Pengadu hanya menyedari kehadiran suspek selepas bangun daripada tidur pada jam 6.15 pagi, semalam.

Tambahnya, pengadu memaklumkan ada beg kertas yang mengandungi dua pisau, pemutar skru, dua botol minuman keras dan sebuah tablet berada bersebelahan suspek.

“Pengadu syak kesemua barang itu adalah miliknya namun tidak sempat dibawa lari, berikutan suspek mabuk dan kemudian tertidur.

“Suspek berusia 41 tahun kemudian berjaya ditangkap selepas pengadu menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 15 rekod dadah, enam jenayah dan satu rekod dikehendaki berkaitan kes dadah.

Chang Hook berkata, ketika rumah tersebut dimasuki suspek, pengadu tinggal bersama isteri dan empat anak.

“Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, “katanya.

Baca juga: Trend baru di TikTok, budak kelas belakang tayang kereta mewah, sindir apa ‘top student’ dah capai