Bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan mengakui bahawa beliau dan isterinya sudah enam bulan tidak tinggal sebumbung.
Menurutnya, masalah rumah tangga yang dihadapi beliau dan isterinya itu sebenarnya sudah berlarutan hampir tiga tahun.
Musa bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai situasi sebenar di sebalik video yang tular baru-baru ini kerana tidak mahu membuka aib isterinya.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut telah diserahkan kepada peguam dan mahu masalah itu diadili mengikut undang-undang.
“Saya mempunyai sebab-sebab tertentu untuk meneruskan aduan berkaitan dengan isteri saya ke Mahkamah Syariah.
“Saya serahkan kepada peguam, saya lebih selesa proses keadilan perlu melalui undang-undang dan mahkamah.” Katanya.
Musa juga sekali lagi mengingatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video itu jika tidak mahu dikenakan tindakan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung insiden itu telah dibuka.
Kata Azmi, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk sebarang tindakan lanjut.
Baca juga: Tular video bergaduh dengan isteri, Musa Hassan beri amaran jangan masuk campur