Tular video budak tercekik kambing bakar terselamat, ramai setuju teknik tekanan abdomen ini dipelajari

Oleh WAN SITI AMINAH

Kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun selepas tercekik gula-gula kenyal ataupun ‘gummy’ pada minggu lalu masih menjadi topik perbincangan hangat di media sosial sehingga kini.

Terbaharu, tular pula satu rakaman memaparkan seorang lagi kanak-kanak lelaki tercekik ketika sedang menikmati hidangan kambing bakar di sebuah majlis sempena hari jadi datuknya di sebuah kediaman.

Menerusi rakaman berdurasi 58 saat yang dimuat naik di platform TikTok itu, terlihat kanak-kanak terbabit menjerit kesakitan sambil memegang kerongkongnya selepas tercekik ketulan kambing bakar berkenaan.

Seorang wanita dipercayai ibu kepada mangsa kemudian bertindak segera dengan memeluknya untuk memberi bantuan kecemasan supaya ketulan yang tersekat dapat keluar daripada saluran penafasan kanak-kanak terbabit.

Bantuan bagi mengeluarkan bendasing daripada saluran penafasan ini dikenali sebagai tekanan abdomen atau ‘Heimlich maneuver’ di mana genggaman tangan kanan diletak antara pusat dan bawah rusuk sebelum ditekan.

“Tengah sambut hari jadi Ayah. Cemas apabila anak buah tercekik kambing bakar. Mujurlah kakak ipar tenang dan pantas buat teknik Heimlich. Alhamdulillah, semua baik-baik sahaja. Ini pentingnya kita belajar cara beri bantuan kecemasan,” kata pengguna TikTok.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih tontonan sebanyak 2.1 juta tontonan dan 104,200 tanda daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya bersetuju bantuan penafasan ini dipelajari penjaga kanak-kanak termasuk guru.

Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi melibatkan ahli keluarga mereka sendiri yang berjaya diselamatkan dengan menggunakan teknik tekanan abdomen atau Heimlich maneuver selepas tercekik.

Heimlich Maneuver dan bantuan kecemasan penafasan (CPR) ini penting. Tak kisah cikgu, pengawal keselamatan atau ibu bapa sekalipun. Tolonglah belajar. Kanak-kanak dan orang tua paling risiko tercekik. Kadang-kadang itu dengan air liur sendiri boleh tercekik,” kata seorang pengguna.

“Otak hanya mampu bertahan tanpa oksigen sekitar tiga hingga empat minit sahaja. Lebih daripada itu, boleh beri kesan kepada otak kita. Jadi sangat penting untuk kita pelajari teknik Heimlich ini.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Rugi jutaan ringgit, Zizan dedah ada banyak ‘rakan’ lari lepas berhutang dengannya