Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard ditahan polis malam tadi atas dakwaan menghasut dan membuat dakwaan tidak berasas berhubung institusi diraja dalam ceramah politiknya.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, penahanan dilakukan sekitar pukul 10.25 malam selepas pihak polis menerima laporan mengenai penularan video ceramah melalui akaun TikTok Edume @4mrankiamat pada Khamis lalu.
Kumar memaklumkan bahawa permohonan reman terhadap suspek akan dibuat pada hari ini (Sabtu) di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, lapor Sinar Harian.
“Siasatan berhubung penularan video itu dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5 JSJ Bukit Aman sejurus laporan diterima.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Pihaknya juga menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membuat atau menyebarkan kenyataan berunsur hasutan sehingga menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di negara ini.
Baca juga: Patutlah ramai marah, gaji & elaun MP Indonesia 27 kali ganda lebih tinggi dari gaji minimum rakyat