Kehadiran seorang lelaki warga asing yang cuba membuka pintu kenderaan di jalan raya berdekatan sebuah pusat pengajian telah menimbulkan keresahan orang awam.
Mana tidaknya, pemuda berkenaan begitu berani melakukan tindakan mencurigakan itu dan langsung tidak gementar ketika membuka pintu beberapa buah kereta di situ.
Tular di media sosial, tindak-tanduk warga asing tersebut sempat dirakam oleh salah seorang mangsa sebelum dimuat naik menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya.
Wanita dikenali sebagai Eno itu berkata, insiden tersebut berlaku di jalan keluar Kolej Pengajian Keselamatan dan Penyiasatan Malaysia (MyCSI) di Cyberjaya, Selangor.
Ketika kejadian berlaku, Eno sedang berada berdekatan dan menyaksikan pemuda itu cuba membuka pintu kenderaan miliknya sebelum beredar selepas disergahnya.
Eno kemudian membuat keputusan mengeluarkan telefon bimbit miliknya dan mula merakam apabila lelaki terbabit membuka pintu kenderaan lain yang berada di situ.
Sempat menegur tindakan warga asing terbabit, Eno turut memberi amaran kepada penduduk terutamanya pelajar yang menuntut di kolej berdekatan di lokasi kejadian.
“Untuk para pelajar yang berada berdekatan Cyberjaya, berhati-hati ya! Mamat ini selamba sahaja buka pintu kereta aku. Sudahlah aku bawa mak dan adik sekali. Kereta semua orang ya (dia buka).
“Kalau mak atau adik aku berada di dalam kereta dan mereka diapa-apakan macam mana? Nasib baiklah aku tengah berdiri dekat kawasan berdekatan. Jadi untuk para pelajar, sila berhati-hati ya,” tulisnya di keterangan video.
Mengundang perbincangan hangat, hantaran yang dikongsi Eno beberapa hari lalu itu berjaya meraih 1.7 juta tontonan dan juga ribuan komen daripada pelayar TikTok.
Tinjuan di ruangan komen mendapati, rata-rata pengguna turut mengalami kejadian yang sama di Cyberjaya dan juga beberapa lokasi tumpuan ramai di negeri lain.
Aksi lelaki itu yang hanya menggelengkan kepala seakan tidak melakukan sebarang kesalahan selepas disergah Eno turut menjadi topik perbincangan pengguna TikTok.