Tun Musa Aman gesa siasatan Zara Qairina dilakukan tanpa pilih kasih

Oleh ROSLAN ZAMAN

Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sebentar tadi menyeru siasatan yang dilakukan terhadap Allahyarham Zara Qairina dilaksanakan dengan penuh telus dan teliti meliputi setiap aspek, tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Orang ramai terutamanya pengguna media sosial tidak wajar membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berhubung kes ini.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan yang lebih mendalam kepada keluarga Zara yang sedang berduka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan, ia adalah suatu perintah Allah untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah, tegas beliau.

Musa serta isteri, Toh Puan Faridah Tussin turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga Zara, menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarham Zara akan diadakan pada Khamis (14 Ogos 2025) selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

baca: Istana nafi ahli keluarga YDP Sabah terlibat kes kematian Zara Qistina