Cadangan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan agar dibenarkan kempen rumah ke rumah dalam PRN Melaka dikecam oleh pengundi Melaka.
Suara hati rakyat Melaka ini disuarakan ketika mereka mengulas cadangan Ahmad Maslan itu menerusi laman facebook Melaka Hari Ini, laman yang dikawal oleh kerajaan negeri Melaka sendiri.
Bagi mereka, langkah ini boleh menjuruskan mereka kepada Covid-19 yang berpanjangan sebagaimana yang berlaku dalam PRN Sabah sebelum ini.
Almi Ib menulis, “Nak sebarkan semula Covid sampai berbulan-bulan kena kurung dalam rumah?
“Apa punya mentaliti pemimpin Umno ni? Tak payahlah Ahmad Maslan. Pegilah memancing,” tulis beliau.
Annabelle Sabtu juga tidak bersetuju dengan cadangan ini.
“Tak payah beriye lahhh. Kang jadi satu hal plak dok sebar Covid,” kata beliau.
Aishah Syar Romli pula mempertikaikan kenapa sekarang baru Umno mahu mengunjungi rumah pengundi di Melaka.
“Nape sekarang baru nak gerak rumah ke rumah… Masa waktu pandemik orang tak makan orang susah takde pulak nak jenguk nak bergerak rumah ke rumah… Kepala bana betul sume ni ..!” kata beliau.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno meminta supaya diberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkempen menerusi pergerakan rumah ke rumah sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan memastikan segala pergerakan dan bilangan ahli yang terlibat itu adalah terhad dan tidak melanggar SOP.
“Kita ada bincang dalam MKT supaya ada kelonggaran sedikit kepada SOP dalam PRN Melaka, supaya sedikit pergerakan boleh dibenarkan contohnya, rumah ke rumah dengan bilangan yang terhad.
“Contohnya berada dalam bilik gerakan dengan bilangan terhad untuk menyediakan perkara-perkara sebaran dan hebahan kempen misalnya,” katanya.