Umno mesti laksana keputusan MKT yang dibuat secara konsensus

Oleh BORHAN AHMAD

Umno mesti terus melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu semalam, kata anggotanya Datuk Dr Puad Zarkashi.

“Pertama, memihak kepada YDP Agong dalam isu derhaka. Kedua, menarik sokongan kepada Perdana Menteri,” kata Puad menerusi Facebook beliau.

Ini kerana, kata Puad, keputusan yang dicapai dalam mesyuarat MKT Umno semalam dicapai secara konsensus.

“Ia lulus secara konsensus. Semoga sehari dua ini akan bertambah senarai mereka yang tarik sokongan.

“Dan ada lagi Menteri, Timbalan dan Pengerusi GLC yang umum letak jawatan,” kata Puad.

Sebenarnya, kata Puad, tidak perlu undian di Parlimen pun kalau kerajaan Perikatan Nasional ada harga diri.

“Dulu jadi PM ke 8 adakah melalui usul di Parlimen?” tanya Puad lagi.

Bagi bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan BN itu, Ogos adalah bulan kemerdekaan yang tidak boleh tenggelam jadi bulan defisit keyakinan.

“Negara akan tambah sakit kerananya,” kata beliau.

Perdana Menteri mengumumkan, atas perkenan YDP Agong, usul “undi percaya” terhadap beliau akan di bawa ke sidang Parlimen September nanti.

“Tapi ramai kecewa. Kenapa lambat sangat. Sementara tunggu September dibimbangi “scheme of things” akan bermaharajalela. Banyak manipulasi akan berlaku.

“Baru sekarang PM setuju, pembatalan Ordinan Darurat dan usul “Undi Percaya” mesti dibawa ke Parlimen, dibahas dan diundi,” katanya.