Pintu rundingan antara Umno dan Bersatu sudah tertutup rapat, dan hanya tertumpu terhadap usaha memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai bersama Pas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata Umno dan Bersatu tidak akan berunding lagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
“Umno Melaka memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dan itu keputusan serius dicapai menerusi Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun lalu.
“Semua enam bahagian Umno di Melaka menolak kerjasama politik dengan Bersatu dan hanya menumpukan kepada kerjasama dengan Pas menerusi MN,” katanya pada sidang media di Baitul Tariq, Klebang hari ini.
Menurutnya, Umno Melaka akan memperkasakan MN dan rundingan bersama Pas akan dilakukan menerusi perbincangan terus bersama parti terbabit.
“Ini menunjukkan keputusan (menolak kerjasama dengan Bersatu) adalah kehendak akar umbi berikutan tindakan parti terbabit yang banyak mengguris hati dan perasaan ahli Umno, khususnya di Melaka.
“Umno negeri melalui semua ketua bahagian parti bersepakat tidak akan ada apa-apa rundingan, sama ada secara langsung atau tidak dengan Bersatu dalam pilihan raya ini,” katanya.
Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri, berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek bagi membincangkan kerjasama dalam menghadapi PRN.
“Saya nyatakan kepada Pas, kerjasama ini penting bagi memastikan tiada perpecahan umat Islam dan Melayu yang lebih besar berlaku di negeri ini.
“Insya-Allah, pertemuan dengan Pas akan diadakan lebih selepas ini,” tambahnya lagi.