Umur pun baru 24 tahun, Sarah Suhairi terkejut didakwa jadi ‘sugar mummy’, “tak logik, mustahil”

Oleh KIM SYAZIE

Jika dahulu penyanyi ini pernah berkongsi diekori ‘stalker’ atau penghendap sehingga trauma, kini lain pula ceritanya apabila wajahnya diguna pakai individu tidak dikenali untuk menyamar sebagai ‘sugar mummy’.

Penyanyi Sarah Suhairi berkata, individu terbabit bukan sahaja menipu, malah berani mati mengaku dirinya sebagai ‘sugar mummy’ bagi memperdaya mangsa untuk meminta wang.

“Saya baru sahaja dapat tahu mengenai perkara ini apabila pihak pengurusan, Rusa Music memaklumkan ada individu membuat aduan ditipu wanita yang menyamar sebagai saya.

“Tak pasti sama ada menerusi aplikasi cari jodoh atau Telegram, tetapi individu itu mengguna pakai gambar-gambar saya selain mendakwa dirinya sebagai ‘sugar mummy’.

“Mangsa mengadu kepada pihak pengurusan saya kerana mengaku telah ditipu dan kerugian sejumlah wang yang banyak. Kata mangsa, muka memang saya tetapi nama Asim Binit,” dedahnya memetik laporan portal Pose.

Tidak tahu menahu, pelantun lagu SAH itu mengakui bingung sejak bila kejadian sedemikian telah berlaku, namun pada masa sama gusar sekiranya perkara isu berlarutan dan membabitkan lebih ramai lagi mangsa.

“Bengang memang bengang tapi apa yang saya bimbangkan sekarang ialah takut ramai lagi  terperdaya dan kerugian sekali gus menyalahkan saya sedangkan sudah terang lagi bersuluh bukan saya.

“Pendek kata memang mustahil  saya ini seorang ‘sugar mummy’! Memang tak logik. Saya pun tak pernah tipu atau buat kerja-kerja begitu, tidak berkat dan bukan itu cara saya dalam mencari rezeki.

“Bukan itu sahaja, saya juga risau perkara ini andai dibiarkan akan menjejaskan imej saya. Ini pertama kali berlaku dalam hidup sepanjang saya bergelar anak seni,” jelasnya gusar.

Enggan nama terus dipergunakan, wanita bermata bundar itu memaklumkan tidak teragak-agak akan  membuat laporan polis sekiranya perkara itu masih berlarutan. 

“Saya akan buat laporan polis mengenai perkara ini. Ini bukan kes main-main.

“Saya harap mereka yang jadi mangsa juga kena tampil buat laporan polis, jangan biarkan sampah masyarakat seperti itu bersenang lenang mengaut keuntungan atas nama orang lain,” katanya.

Baca juga: Dulu berlakon jadi anak, aktres ini bakal warisi harta Stephen Chow bernilai ratusan juta ringgit?