Pijak al-Quran hinaan terbuka terhadap agama, undang-undang mesti bertindak tegas – Ustaz Wadi Annuar

Oleh MALAYSIADATELINE

Pendakwah bebas terkenal, Ustaz Wadi Annuar menyifatkan perbuatan memijak kitab suci al-Quran sebagai satu bentuk penghinaan yang terbuka terhadap agama Islam.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di platform Threads, pendakwah terbabit juga menegaskan bahawa perbuatan itu sememangnya biadab dan tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat bertamadun.

Difahamkan, kenyataan tersebut dimuat naik susulan isu penularan gambar seorang lelaki memijak al-Quran yang didakwa dimuat naik oleh seorang penuntut di sebuah universiti awam tempatan baru-baru ini.

“Memijak al-Quran adalah perbuatan biadab yang tidak boleh diterima dalam mana-mana masyarakat bertamadun. Ia satu penghinaan terbuka terhadap agama,” katanya Ustaz Wadi dalam hantaran tersebut.

Sehubungan dengan itu, pendakwah terbabit berharap agar tindakan undang-undang dikenakan secara tegas terhadap mana-mana pihak atau individu yang bertindak menyentuh kesucian agama Islam.

Terdahulu, seorang penuntut universiti awam di Kuantan, Pahang dilaporkan ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan susulan penularan hantaran gambar lelaki disyaki memijak al-Quran.

Penuntut terbabit ditahan selepas bapanya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membuat laporan berhubung hantaran di media sosial dilakukan anaknya berkaitan penghinaan terhadap al-Quran.

Malah pengadu juga hadir ke balai polis bersama anaknya yang berusia 21 tahun itu dengan tujuan memohon maaf kepada orang Islam selain turut merasa bimbang dengan keselamatan anaknya.

Suspek kemudian direman selama empat hari bermula Rabu lalu sehingga 28 Februari ini dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 298 kanun keseksaan kerana melakukan tindakan menghina agama lain.

Penuntut universiti terbabit juga turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Baca juga: Tular jemaah solat teraweh berbeza-beza arah kiblat