PRN N.Sembilan: “Kali ini kita bertembung dengan rakan di Persekutuan” – Mat Sabu

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengajak rakyat Negeri Sembilan memberikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Menurut beliau yang mesra disapa Bang Mat, Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, bekerja untuk rakyat serta menjaga perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Negeri Sembilan perlukan sebuah kerajaan yang stabil, bekerja untuk rakyat dan menjaga perpaduan.

“Sebab itu Bang Mat mengajak semua rakyat memberi sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan bagi PRN Negeri Sembilan Ke-16, yang menyaksikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 36 calon gabungan itu.

Mohamad turut mengakui PH kali ini bakal berdepan parti yang menjadi rakan kerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Memang kali ini kita akan bertembung dengan parti yang menjadi rakan di peringkat Persekutuan. Itulah hakikat politik semasa.

“Namun apabila rakyat membuat pilihan di Negeri Sembilan, Bang Mat berharap sokongan diberikan kepada calon-calon Pakatan Harapan yang membawa agenda kestabilan, pembangunan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan AMANAH akan terus istiqamah membawa pendekatan Islam Rahmatan Lil Alamin serta menolak politik kebencian, fitnah dan permainan isu perkauman serta agama yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Menurutnya, Negeri Sembilan perlu terus dipertahankan sebagai sebuah negeri yang aman dan harmoni dengan masyarakat pelbagai kaum saling menghormati antara satu sama lain.

Mohamad turut menyentuh prestasi pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Anwar yang menurutnya semakin mendapat keyakinan dunia.

Beliau mendakwa peningkatan pelaburan, pengukuhan ekonomi serta perkembangan positif nilai ringgit merupakan hasil usaha berterusan kerajaan dalam memulihkan negara dan membina masa depan lebih baik.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya keluar mengundi pada 1 Ogos dan memberikan sokongan kepada calon-calon PH.

“Berikan sokongan kepada calon-calon Pakatan Harapan demi Negeri Sembilan yang lebih maju, stabil dan sejahtera,” katanya.

Baca juga: Malaysia kembali catat prestasi, juarai pasaran IPO Asia Tenggara buat kali kedua