Isu keluarga dipercayai menjadi punca Pendakwah Bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, keputusan penceramah itu kemungkinan mempunyai kaitan dengan abangnya, Mohd Najmuddin Elias yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN).

“Saya difahamkan, abang beliau (Ustaz Kazim) bertanding atas tiket Bersatu di satu daripada DUN di Larut, jadi saya kira ia adalah hal keluarga.
“Beliau pula dicadang untuk jadi calon BN di Larut, jadi tentunya dia akan berlaga, jadi itu yang mungkin menjadi isu di Larut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengenalan 26 calon BN Johor, di Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, hari ini.
Terdahulu, Ustaz Kazim mengumumkan untuk menarik diri dari bertanding di kerusi berkenaan pada PRU-15.
Perkara itu disahkan Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Susulan itu, BN Perak telah menggantikan Ustaz Kazim dengan Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.