Video adik ipar Aliff Aziz bikin panas, ramai duga karier Ruhainies bakal berakhir – “Kawan makan kawan!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Selepas didakwa menjadi individu yang ditangkap khalwat bersama selebriti sensasi iaitu Aliff Aziz, nama pelakon Ruhainies nampaknya masih menjadi topik perbualan hangat di kalangan netizen Malaysia.

Mana tidaknya, satu lagi video membabitkan dirinya kembali ‘membakar’ hati netizen susulan tularnya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kelibatnya berduaan bersama Aliff di sebuah kondominum mewah.

Dimuat naik sendiri oleh adik pelakon, Bella Astillah iaitu Didi Astillah, video berdurasi 44 saat terbabit berjaya memperlihatkan keakraban kakaknya yang juga merupakan isteri kepada Aliff Aziz bersama Ruhainies.

Terlihat sangat rapat, video tersebut berhasil merakamkan kemesraan dua wanita itu ketika meluangkan masa bersama termasuklah saling berpimpin tangan sewaktu berkunjung ke sebuah pantai.

Bukan itu sahaja, Ruhainies dan Bella rupanya pernah melancong ke luar negara iaitu Korea Selatan bersama-sama dan tampil manis berdua ketika menggayakan Hanbok yang merupakan pakaian tradisional negara tersebut.

Malah, adegan tatkala Bella mendukung Ruhainies di belakang tubuh badan kecilnya itu juga jelas mengisyaratkan bahawa mereka berdua sememangnya mempunyai hubungan yang begitu akrab.

Hantaran dibuat oleh Didi Astillah tersebut sekaligus ditafsirkan orang ramai sebagai jawapan kepada persoalan mengenai identiti pelakon wanita yang ditangkap khalwat bersama Aliff pada awal pagi Sabtu.

Seperti yang dijangka, hantaran dikongsikan di akaun Instagram milik Didi Astillah itu dibanjiri dengan luahan kekecewaan orang ramai terhadap Ruhainies kerana tergamak mengkhianati kawan baiknya sendiri.

Ramai juga yang berkongsi pendapat bahawa kerjaya lakonan Ruhainies selepas ini berkemungkinan bakal terkubur begitu sahaja susulan kontroversi hangat melanda dirinya itu.

“Maka dengan rasminya berakhirlah karier Ruhainies di dalam industri. Dia kini bukan lagi bergelar pelakon tapi ‘pelakor’ (perampas),” kata seorang pengguna yang tidak dapat menahan amarah.

“Ini kawan makan kawan namanya. Kalau betullah Ruhainies orangnya, tergamak dia buat Bella macam itu,” komen pengguna lain yang turut bersimpati dengan nasib menimpa isteri Aliff Aziz itu.

Beberapa individu turut tampil memberikan respon sinikal terhadap kejadian tersebut dengan memberikan cadangan supaya Bella menerima sahaja Ruhainies sebagai madu ekoran hubungan akrab yang telah terbina antara mereka.

Terdahulu, seorang artis berstatus suami orang dilaporkan telah ditangkap khalwat bersama pasangannya yang juga merupakan pelakon wanita di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Mengambil masa hampir tiga jam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas artis terbabit enggan membuka pintu untuk pemeriksaan.

Didi Astillah kemudian mengesahkan abang iparnya iaitu Aliff Aziz adalah individu yang ditangkap khalwat bersama seorang pelakon wanita yakni pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas.

Baca juga: Aliff Aziz ditangkap khalwat dengan pelakon wanita, Jawi tunggu 3 jam baru buka pintu