Video kanak-kanak India baca doa makan cuit hati netizen, bapa siap betulkan bacaan

Oleh MALAYSIADATELINE

Satu rakaman memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berbangsa India membacakan doa sebelum menjamah makanan telah berjaya mencuit hati ramai pengguna media sosial tempatan baru-baru ini.

Mana tidaknya, rakaman itu bukan sahaja memaparkan tingkah laku lucu kanak-kanak berkenaan malah turut memperlihatkan sikap toleransi daripada bapanya yang mengundang pujian orang ramai.

Berdasarkan video berdurasi 20 saat yang dirakam sendiri oleh bapanya, kanak-kanak itu dilihat sudah memegang makanan namun sempat membaca doa terlebih dahulu sebelum memasukkannya ke dalam mulut.

Sang bapa dilihat tidak menghalang anaknya sebaliknya bertindak membetulkan bacaan memandangkan kanak-kanak tersebut hanya membacakan potongan belakang doa berkenaan.

“Baca doa sebelum makan. Teringat zaman tadika saya dahulu,” tulis bapa dikenali sebagai Vishnu Dev itu dalam ruangan kapsyen video yang dimuat naik di akaun media sosial TikTok miliknya itu.

@vishnudevjb

Doa sebelum makan 😂.. Remembered my tadika days.. #foryou

♬ original sound – Vishnu Dev – Vishnu Dev

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 25,000 tontonan dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengakui cukup terhibur dengan gelagat kanak-kanak terbabit.

Mereka turut memuji sikap toleransi bapa kepada kanak-kanak berkenaan malah umat Muslim juga berkongsikan cadangan agar keluarga itu membacakan doa tersebut ketika mencari tempat meletakkan kenderaan.

“Patutlah sekarang semakin susah nak dapatkan tempat parkir kereta. Sudah banyak persaingan,” kata seorang pengguna dalam nada berseloroh ketika memberi reaksi kepada cadangan orang ramai.

“Maksudnya adalah; Wahai Tuhan, berkatilah rezeki yang telah Engkau berikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari azab api neraka.” Ujar pengguna lain berkongsikan makna bacaan doa tersebut.

Baca juga: Seluar trek harga RM28 jadi isu, bapa keluh sekolah wajibkan pakaian nama sekolah