Wakil-wakil rakyat DAP giat agih kutipan derma kepada mangsa banjir

Oleh ARIF ATAN

Kutipan sumbangan dan derma daripada orang ramai telah disalurkan sebaik-baiknya oleh wakil-wakil rakyat DAP kepada mangsa yang terjejas dengan bencana banjir besar baru-baru ini.

Sumbangan itu merangkumi perbelanjaan bagi penyediaan makanan, kerja-kerja pembersihan, tempat tinggal dan bantuan kewangan kepada mangsa selain disimpan di dalam tabung kecemasan.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook berkata, jumlah kutipan yang disalurkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu Titi adalah RM316,245.

“Daripada jumlah tersebut, RM60,245 telah dibelanjakan untuk penyediaan makanan kepada mangsa banjir di Titi dan Hosapa selama dua minggu.

“Kira-kira 10,000 pek nasi bungkus disediakan dalam tempoh tersebut,” katanya di laman Facebook semalam.

Perbelanjaan lain tambahnya, termasuk kerja-kerja pembersihan dan penyediaaan tempat tinggal untuk sukarelawan dari luar.

Jelasnya, baki sebanyak RM256,000 juga telah diperuntukkan dengan RM200,000 diberi secara terus kepada 400 keluarga mangsa iaitu 300 di Titi dan Hosapa serta 100 keluarga lagi di Kampung Chennah dengan setiap keluarga mendapat sumbangan berjumlah RM500.

“Baki RM56,000 disimpan dalam akaun MPKK Kampung Baru Titi untuk tabung kecemasan dan kesiapsiagaan untuk sebarang bencana,” jelasnya.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang dan penderma. Terima kasih,” tambahnya.

Dalam pada itu, Tabung Banjir DAP Selangor menyaksikan sumbangan sebanyak RM254,197.

ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, pihaknya bukan sahaja mengumpulkan dana tetapi juga barangan yang telah disumbangkan oleh orang ramai.

Menurutnya, barang tersebut termasuklah makanan kering, bantal, tilam, peralatan elektronik dapur seperti cerek serta periuk nasi, malah ada juga makanan haiwan peliharaan.

Terdapat tujuh lokasi derma barang telah diwujudkan iaitu di Bangi, Subang Jaya, Dusun Tua, Banting, Kota Kemuning, Kinrara dan Bandar Utama.

“Sumbangan barang cucian seperti mop lantai, sabun mencuci dan ‘water jet’ turut diberikan,” katanya lagi.